Kuala Lumpur – Juara program Gimme The Mic Malaysia 2024, Farhan Mustapha meluahkan rasa syukur apabila perjuangan selama 12 tahun untuk bergelar penyanyi akhirnya tercapai.
Menurut Farhan, 28, yang baru sahaja melancarkan single baru ‘Mutiara Hati’ berkata, beliau tidak mengimpikan menjadi terlalu popular tetapi mengharapkan bakatnya diterima peminat seluruh negara.
“Siapa yang tidak mahu popular dan berdiri sebaris dengan penyanyi-penyanyi hebat, tetapi perjalanan saya masih jauh dan untuk membina nama itu sendiri bukan sesuatu yang mudah.
“Saya berharap lagu terbaru ini diterima peminat dan mampu membawa nama saya dalam industri ini” katanya.

Farhan yang juga bekerja sebagai penebar roti canai di gerai ibu mertuanya di Kuala Pilah menjelaskan beliau tidak merasa malu dengan pekerjaannya.
“Saya berbangga dengan pekerjaan saya sebagai penebar roti canai, dengan pekerjaan itulah mengajar saya mengingati asal usul dan tidak riak dengan apa yang dicapai.
“Sejujurnya, saya pernah merasa bangga diri dahulu, saya rasa apabila dah menang saya lebih hebat dari orang lain, namun itu bersifat sementara dan pekerjaan saya inilah yang mengajar untuk merendah diri dan tidak mudah lupa.
“Saya tak malu mengaku saya seorang penebar roti canai, kalau nak rasa roti canai sedap datanglah ke Kuala Pilah” selorohnya kepada media.
Farhan turut bersyukur, Gimme The Mic Malaysia 2024 juga pembuka rezeki buatnya apabila gerai roti canai ibu mertuanya dikunjungi ramai pelanggan.
Dalam perkembangan sama, Farhan turut mezahirkan rasa syukur dengan lahirnya ‘Mutiara Hati’ ciptaan Aiman & Mac’s Max dan lirik ditulis oleh Pak Long DKFA dan KrisdaEyda.

Menurut penulis lirik, Pak Long DKFA, pemilihan Farhan berdasarkan kekuatan vokalnya yang mantap dan yakin beliau mampu membawa lagu ‘Mutiara Hati’ dengan baik.
Farhan Mustapha sebelum ini pernah menyertai program Bintang RTM 2012 dan 2016, Akademi Fantasia 2015, Mentor Milenia 2017.
Bahkan Farhan juga pernah bergelar artis rakaman sebuah label, bagaimanapun bakatnya tidak dihargai sehingga pernah terfikir untuk berputus asa.
“Semoga Mutiara Hati diterima para peminat lagu-lagu balada” ujar Farhan.
