KUALA LUMPUR: Seorang pelawak popular dilaporkan ditahan di Jeddah kerana dipercayai memiliki dadah jenis ganja ketika dalam perjalanan menunaikan umrah, baru-baru ini.
Menurut laporan Utusan, pelawak itu dipercayai ditahan dua bulan lalu di Lapangan Terbang Jeddah dan masih berada dalam tahanan bagi tujuan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Difahamkan, pelawak berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya, namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.
Bagaimanapun, pelawak berkenaan dilihat masih aktif dalam media sosial dengan beberapa hantaran baharu dimuat naik, namun kandungan itu dipercayai diuruskan oleh pasukan pengurusannya.
Malah, pelawak berkenaan dikatakan bakal muncul dalam satu program televisyen yang dirakam lebih awal sebelum insiden penahanan berlaku.
Sementara itu, media cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada persatuan, pihak berkuasa dan keluarga pelawak berkenaan.
