Kuala Lumpur – Walaupun tidak muncul depan khalayak ramai selama lebih sedekad, ikon pop dan diva 70-an Singapura Anita Sarawak masih menarik minat media serantau.
Terkini muncul gambar Anita yang sudah berusia 72 tahun di samping suaminya yang merupakan warga Britain, Mohamad Mahathir Abdullah, pada 31 Disember.
Gambar Anita itu dipetik oleh abang angkatnya, bekas wartawan hiburan The New Straits Times (NST). Shuib Taib, namun, tidak jelas bila sebenarnya gambar itu diambil.
Dalam catatan Instagram, bekas editor hiburan NST, Roslen Fadzil berkongsi foto itu disertai dengan petikan bagaimana beliau ditugaskan membantu seorang penganjur konsert untuk melibatkan Anita bagi satu acara konsert.
Beliau telah menghubungi Shuib untuk menyampaikan mesej itu kepada Anita, yang kemudian membalas Roslen dengan mengucapkan terima kasih melalui suaminya, Encik Mahathir, atas pelawaan itu.
Bagaimanapun, Anita menolak pelawaan tersebut, menjelaskan bahawa beliau telah pun bersara dengan kehidupan yang berbeza, lebih peribadi, dan selesa dengan situasi semasanya.
Anita atau mesra disapa Kak Nita disenaraikan oleh penganjur bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap bakat oleh Allahyarham Adnan dalam konsert mega di Kuala Lumpur, tahun depan
Sepanjang kerjaya seninya, Anita pernah merakamkan lagu Cintamu Muzik Di Hatiku ciptaan Allahyarham Adnan dan lirik ditulis oleh Allahyarham Seri Bayu.
Menerusi pesanan yang sama juga, Mahathir memaklumkan, Anita turut bersedih dengan pemergian Adnan yang disifatkannya sebagai penerbit terbaik di zaman kemasyuran Allahyarham.
“Terima kasih kerana sudi menghubungi. Apabila memaklumkan kepada Anita mengenai konsert mengenang pemergian Adnan, beliau begitu sedih dan mula terkenangkan detik yang pernah dikongsi bersama salah seorang produser terbaik sepanjang zaman itu.
“Sampaikan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan mereka seharusnya berbangga dengan bakat unik dimiliki Adnan.
“Mengenai undangan konsert, Anita ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tanda ingatan.
“Bagaimanapun, seperti diketahui, Anita sudah bersara dan kini memiliki kehidupan berbeza. Kehidupan privasi membuatkannya lebih selesa.
“Jadi, mohon sampaikan kemaafan kami kepada penganjur dan kami amat menghargai tanda ingatan,” kata Mahathir dalam mesejnya.
Roslen turut menghormati tindakan Mahathir yang menolak undangan berkenaan dengan baik dan penuh budi bahasa.
“Jawapan diberikan mungkin mengecewakan jutaan peminat Anita, namun itulah hakikat perubahan terjadi kepada penyanyi Akhirnya Kini Pasti itu.
“Bagaimanapun, Mahathir mengirimkan fotonya bersama Anita kepada Shuib bagi mengubati kerinduan peminat. Kita doakan kesejahteraan mereka,” kata Roslen lagi.
Anita mengejutkan peminatnya selepas membuat keputusan menyepikan diri dari industri hiburan secara mendadak.
‘Kehilangan’ anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan seniwati Siput Sarawak itu mencetuskan pelbagai spekulasi berikutan jejak beliau dan suaminya tidak dapat dikesan.
Sehingga kini selepas lebih sedekad ‘hilang’ tiada mana-mana media yang berjaya menyelongkar kehidupan Anita dan suami.
