Kuala Lumpur – Dunia dikejutkan dengan isu genosid yang berlaku di Gaza, Palestin. Setiap hari masyarakat dihidangkan dengan kisah pembedilan zionis Israel terhadap bumi Palestin namun sehingga kini keganasan masih berlaku walaupun pengisytiharan gencatan senjata telah diumumkan.
Sehubungan itu, sebuah teater berjudul ‘Surat dari Rafah’, karya Srikandi Emma bakal meruntun jiwa penonton yang akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur bermula 14 hingga 16 Februari ini.

Naskah tersebut mengangkat isu perperangan di Palestin di mana Rafah yang sepatutnya menjadi tempat berlindung diserang tanpa belas ihsan berikutan konflik yang tiada berkesudahan sejak Oktober tahun lepas.
Pengarahnya, Nuramalina Mat Yusoff atau lebih dikenali Srikandi Emma berkata, pementasan teater tersebut ditaja sepenuhnya oleh Persatuan Bina, Seni dan Budaya, Komuniti Dakwah Tarbiah dan Bumi Mikraj.
“Teater ini diinspirasi dari isu genosid yang berlaku di Palestin sejak tahun 2023, selain ikatan persahabatan yang dipaparkan, ia juga mengangkat nilai kemanusiaan yang semakin hilang apabila dunia seakan membisu dengan isu ini.

“Surat Dari Rafah adalah sebuah naskah yang ingin mengetengahkan isu Palestin dengan membawa penceritaan sejarah bagaimana Israel menyerang tanpa perikemanusiaan. Penderitaan yang dialami bumi Palestin bukan lagi sebuah perang tetapi sebuah pembunuhan beramai-ramai, dan ia adalah genosid” jelasnya.

Tambahnya, teater ini adalah sebuah kisah persahabatan Aisyah dan Maryam yang berasal dari Palestin namun berada di tempat yang berbeza. Maryam yang memutuskan untuk menyambung pelajaran di Malaysia mula berutus surat dengan Aishah di Rafah. Aishah yang mula menceritakan tentang Gaza diserang Israel lagi dan mereka di Rafah sedang bersedia menerima saudara mereka yang melarikan diri selepas dijarah tentera Israel.
Wakil PERSENI, Mohd Firdaus Abd Rahim berkata, teater ini sudah mula dipentaskan di sekolah-sekolah dan pihak produksi juga melakukan promosi di sekitar Bukit Bintang dengan melakukan flashmob skala kecil.
“Flashmob di Bukit Bintang itu kita lakukan untuk orang ramai mengambil gambar dan video untuk ditularkan ke saluran media sosial masing-masing, dan promosi cara ini juga secara tidak langsung membantu menaikkan platform kami serta mempromosikannya.
“Jualan tiket juga amat memberangsangkan dan menerima respon yang baik dari orang ramai” katanya.
Selebriti dan pelawak, Saiful Apek juga bakal muncul menghangatkan lagi pementasan teater ini pada 15 Februari jam 8.30 malam.

Setiap RM5 dari pembelian tiket akan disalurkan ke tabung Bumi Mikraj untuk membantu saudara kita di Palestin. Tiket boleh dibeli melalui laman web www.fullstag.com
Sinopsis Surat Dari Rafah
Aisha dan Maryam merupakan sahabat baik di bumi Palestin. Mereka merupakan pelajar yang bijak dan memiliki Pendidikan yang baik.
Dalam konflik Palestin-Israel melanda, mereka berdua mengambil keputusan yang berbeza dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka.
Maryam mengambil keputusan untuk meninggalkan bumi Palestin dan menyambung pelajaran di Malaysia, manakala Aisya memilih untuk kekal tinggal di Palestin berbakti untuk tanah airnya.


Mereka mula berutus surat sebaik sahaja Maryam menjejakkan kaki di Malaysia. Maryam juga berkongsi ilmu dan nota-nota pelajaranya untuk Aisyayang berada di Bumi Palestin. Surat-surat Aisya datang menceritakan situasi yang sedang dihadapinya di bumi Rafah.
Khabar tentang serangan Israel yang menjadi-jadi dan Rafah akan menjadi tempat paling selamat untuk rakyat Palestin. Aisya mula menceritakan
mereka di Rafah sedang bersedia menyambut kedatangan saudara mereka yang lain yang di usir Israel dari Jabalia, Khan Yunis dan Deir Al Balah.
Surat-surat Aisya jelas semakin penuh dengan rasa cemas dengan keadaan yang semakin kucar kacir apabila Israel semakin mengganas dan membunuh tanpa ihsan.

Aisya menceritakan bagaimana keadaan semakin padat. Dia yang bertugas di hospital membantu doktor-doktor di hospital Rafah, semakin hari semakin padat dan menyayat hati.
Dalam utusan terakhir Aisya buat Maryam, Aisya menyatakan Israel kini mula menyerang Rafah. Dia merasakan surat ini surat terakhir. Aisya meminta Maryam terus mendoakan mereka di bumi Rafah.
Maryam terkelu membaca utusan terakhir Aisya. Dia tahu, sahabatnya mungkin sudah tiada di dunia ini. Surat yang datang dalam debu-debu bumi Rafah membuatkan Maryam semakin nekad ingin membantu menjadi suara anak Palestin untuk mencapai kemerdekaan buat Palestin
