Semua permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kini hendaklah dilakukan secara digital melalui sistem MyeHALAL. Permohonan yang berjaya akan menerima sijil halal dalam bentuk digital (e-Cert) yang turut boleh dicetak sendiri jika diperlukan. Bagaimanapun, syarikat yang memerlukan sijil fizikal mestilah membuat permohonan rasmi dan membayar caj cetakan semula.
Langkah pendigitalan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan selari dengan usaha kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam. Selain itu, pendekatan ini boleh bantu memudahkan proses pensijilan Halal sekaligus memberi manfaat kepada industri yang semakin berkembang.
Sebelum ini, permohonan sijil halal tidak sepenuhnya digital. Prosesnya melibatkan permohonan secara manual dan pemohon perlu mendapatkan sijil fizikal yang dicetak serta disahkan oleh pihak berkuasa seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
