Masih ramai yang tidak tahu mengenai Guam, walaupun ia merupakan sebuah destinasi yang sangat menarik dan unik. Sehingga kini Guam masih “tersembunyi” daripada radar ramai pelancong, terutamanya dari Asia Tenggara. Namun, ia menjadi destinasi pilihan kebanyakkan pealncong dari Korea Selatan, Jepun dan Filipina.
Sebagai info, Guam merupakan sebuah wilayah milik Amerika Syarikat yang terletak di Lautan Pasifik Barat. Ia terkenal dengan gabungan keindahan alam semula jadi, warisan budaya Chamorro dan syurga buat peminat sukan air.

Sejarah Menarik Guam
Pulau Guam, terletak di Lautan Pasifik Barat, mungkin tidak dikenali ramai, tetapi memiliki sejarah panjang yang kaya dengan pengaruh budaya, penjajahan, peperangan dan perjuangan identiti. Dikenali sebagai “permata Pasifik”, Guam kini merupakan wilayah tidak diperbadankan Amerika Syarikat, namun sejarahnya bermula ribuan tahun lebih awal daripada itu.
Guam mula dikenali dunia Barat apabila pelayar Portugis, Ferdinand Magellan, singgah di pulau ini pada tahun 1521. Namun, Guam hanya dijajah secara rasmi oleh Sepanyol pada tahun 1668, apabila mubaligh Katolik seperti Padre San Vitores tiba untuk menyebarkan agama Kristian.
Pada tahun 1898, selepas Perang Sepanyol-Amerika, Sepanyol menyerahkan Guam kepada Amerika Syarikat melalui Perjanjian Paris. Guam mula digunakan sebagai pangkalan tentera laut strategik, dan diletakkan di bawah pentadbiran Tentera Laut AS.

Pada 21 Julai 1944, tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan besar-besaran untuk membebaskan Guam. Pertempuran ini dikenali sebagai Battle of Guam, dan kejayaan itu membawa kepada kemerdekaan daripada pendudukan Jepun.Tarikh ini disambut setiap tahun sebagai Hari Pembebasan Guam (Guam Liberation Day).
Pada tahun 1950, Kongres AS meluluskan Guam Organic Act, menjadikan Guam secara rasmi sebagai wilayah tidak diperbadankan Amerika Syarikat. Penduduk Guam diberikan kerakyatan Amerika, tetapi tidak mempunyai hak mengundi dalam pilihan raya Presiden.
Pengalaman Indah di Guam
Petugas media Malaysia diberi peluang melawat Guam baru-baru ini atas jemputan Biro Pelancongan Guam (Guam Visitor Bureau) dengan kerjasama Philipine Airlines (PAL).
Untuk ke Guam, persediaan awal dilakukan antaranya dengan borang makluman program Guam–CNMI Visa Waiver secara online di https://g-cnmi-eta.cbp.dhs.gov/ .

Warga Malaysia tidak memerlukan visa untuk melancong ke Guam, di bawah program khas Guam–CNMI Visa Waiver, anda boleh tinggal sehingga 45 hari untuk tujuan pelancongan atau perniagaan tanpa perlu memohon visa Amerika.
Terbang bersama Philipine Airline (PAL) ke Guam merupakan satu pengalaman menarik. Dengan layanan hospitaliti terbaik, perjalanan menjadi suatu kenangan indah yang tidak dapat dilupakan.
Setibanya di Guam, kami disambut mesra dan ditempatkan di hotel Hilton Guam Resort & Spa, Tumon Bay yang sangat selesa dengan bilik menghadap laut. Suasana bilik yang bersih, luas dengan kemasan beranda memberikan ketenangan sambil menghirup udara dan melayani angin laut.
Seterusnya, kami disajikan dengan sajian enak dari restoran Habibi’s Mediterranean yang menyajikan makanan dari Timur Tengah.
Lokasi menarik di Guam jadi pilihan
1) Two Lovers Point
Seterusnya, kami dibawa melawat ke Two Lovers Point atau dikenali Puntan Dos Amåntes yang terletak di Tamuning.
Ia merupakan tebing kapur setinggi kira‑kira 113 m (370 kaki) yang menghadap Tumon Bay dan Laut Filipina.

Two Lovers Point bukan sahaja destinasi semula jadi yang memukau, malah sarat dengan kisah legenda cinta yang mendalam dan penuh emosional. Ia ialah salah satu ikon romantik Guam sesuai untuk sesiapa yang menghargai gabungan keindahan landskap dan kisah budaya lama.
Dilengkapi dua platform tinjau bertingkat yang menyediakan pemandangan laut yang dramatik kira‑kira 400 kaki di bawah . Popular sebagai lokasi foto, proposal perkahwinan atau majlis kecil . Disini juga pelawat boleh menggantung “padlocks cinta” di pagar sebagai simbolik janji kasih.


Bayaran masuk: USD 3 (dewasa) dan kanak‑kanak di bawah 6 tahun percuma.
Waktu operasi: 7 pagi hingga 8 malam setiap hari .
2) Plaza de España dan Latte Stone Park
Plaza de España dan Latte Stone Park di Saylor St, Hagåtña, Guam. Ia merupakan tapak asal Istana Gabenor Sepanyol yang dibina pada tahun 1736 semasa zaman penjajahan Sepanyol.
Walaupun kebanyakan bangunan asal musnah semasa Perang Dunia II, masih tinggal beberapa struktur asal antaranya; Gerbang berkubah tiga (Arsenal Gate), Azotea (teras belakang) dan Chocolate House iaitu tempat pertemuan sosial para gabenor Sepanyol.


Latte Stone Park (Taman Batu Latte) juga dikenali sebagai Senator Angel Leon Guerrero Santos Latte Stone Memorial Park, taman awam di bawah penjagaan Guam Department of Parks and Recreation.
Disini, para pengunjung boleh melihat 8 batu latte iaitu tiang batu yang unik kepada budaya Chamorro, digunakan sejak 800–900 Masihi sebagai asas rumah pangkat tinggi.


Taman ini dinamakan semula pada tahun 2003 untuk menghormati Senator Angel Leon Guerrero Santos, pejuang hak Chamorro dan merupakan tapak utama dalam Hagåtña Heritage Walking Trail, sambil digabungkan dengan kunjungan ke Plaza de España dan Katedral basilika Dulce Nombre de Maria .
3) Fish Eye Marine Park Observatory
Fish Eye Marine Park Underwater Observatory terletak di Piti Bay dan merupakan pusat cerap yang dibina pada tahun 1996 dan pertama di Mikronesia.
Para pengunjung berpengalaman merentas jambatan kayu sepanjang 300–1,000 kaki untuk ke anjung tinjau dan berpeluang ke dek bawah bagi melihat 200 spesies ikan dan sekurang-kurangnya 80 jenis terumbu karang melalui 24 tingkap yang terletak 10 meter daribawah laut.




Aktiviti lain tersedia antaranya Eco-snorkeling, Dolphin-watching cruise dan Island Cultural Dinner Show.
Bayaran masuk: Dewasa USD 16 (promosi USD 14 jika tempah awal), remaja USD 14, kanak-kanak USD 8 manakala bayi percuma.
Waktu operasi: 9 pagi hingg 5 petang setiap hari.
4) Pasar malam Chamorro Village
Terletak di Paseo Loop, Hagåtña, berdekatan Hagatna Marina, Paseo de Susanna, dan Muzium Guam.
Beroperasi pada setiap malam Rabu dari jam 5.30 petang sehingga 9.30 malam. Manakala kedai-kedai cenderahati disitu dibuka setiap hari.

Pasar malam disini kebanyakkan menjual hidangan barbeku Chamorro, minuman buah, barangan artistik seperti jewelry sinahi dan produk kraftangan. Bagi pengunjung yang ingin menunggang kerbau, bolehlah mencuba Carabao rides dengan bayaran USD3 sahaja.



Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan muzik dan tarian budaya Chamorro disamping menari bersama para penari.
5) Valley of the Latte
Sebuah destinasi pelancongan budaya dan alam semula jadi yang memukau serta lokasi yang kaya dengan sejarah dan warisan budaya orang asli Chamorro. Terletak di selatan Pulau Guam, berhampiran dengan kampung Talofofo dan Inarajan.

Antara tarikan disini, para pengunjung boleh menikmati:
- Lawatan Bot ( Jungle Riverboat Cruise) di Sungai Talofofo dan Ugum
Pengunjung boleh menaiki bot menyusuri sungai yang tenang sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan hutan hujan tropika. Bagi pengunjung yang bermiant menyertai aktiviti ini, bayaran untuk dewasa diantara US$110 – US$118, manakala kanak-kanak sekitar US$45 – US$55.
- Perkampungan Budaya Chamorro
Di sini, pelawat dapat melihat demonstrasi cara hidup orang Chamorro zaman dahulu – seperti menumbuk kelapa, membuat kraftangan, dan memasak secara tradisional.



- Tapak Arkeologi
Di Lembah ini juga terdapat tapak purba yang menunjukkan kesan penempatan orang asli, termasuk sisa-sisa batu latte.
- Aktiviti Luar
Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk berkayak, menaiki paddleboard, dan jelajah hutan.
6) Umatac
Umatac (disebut: Ooh-mah-tak) ialah sebuah kampung bersejarah yang terletak di bahagian barat daya Guam. Kampung ini terkenal kerana menjadi tapak berlabuh pertama Ferdinand Magellan pada tahun 1521.
Terletak di pesisir pantai yang indah, kampung ini menawarkan pemandangan laut dan perbukitan yang memukau. Pengunjung boleh bergambar sambil menikmati angin pantai dengan dikelilingi pasir hitam yang unik.


Disini juga, pengunjung boleh singgah ke Fort Soledad yang menempatkan kubu peninggalan Sepanyol menghadap laut. Lokasi ini sangat popular untuk fotografi, dengan pemandangan 360° yang cantik.
7) Pertunjukan Karera
Pertunjukan “Karera” @ The SandCastle, Guam merupakan pertunjukan multimedia terbesar di Lautan Pasifik, dipentaskan di teater SandCastle di Tumon.
Ia mempersembahkan pertunjukkan yang menggabungkan elemen budaya pulau seperti muzik tradisional Chamorro, tarian api, dan persembahan gaya akrobatik moden dengan kesan visual multimedia yang mengasyikkan.




Dipersembahkan lebih 50 artis dari Guam, Samoa, Amerika Utara dan Eropah. Rekabentuk pertunjukan dibuat oleh pereka dan pengarah yang pernah bekerja dengan Cirque du Soleil, Franco Dragone, Madonna, U2, dan Rolling Stones.
Panggung The SandCastle ini merupakan terbesar di Pasifik dengan sistem bunyi L‑Acoustics serta skrin video sebesar IMAX.
Bayaran masuk:
| Kategori | Dewasa (12+) | Kanak‑kanak (6–11) |
|---|
| Bronze | ~US$102 | ~US$50 |
| Silver | ~US$135–154 | US$50 |
| Gold | ~US$180–205 | US$50 |
| Platinum VIP | ~US$270–308 | US$50 |
| Diamond VIP | ~US$450–513 | US$50 |
Waktu operasi: Setiap Isnin, Selasa, Khamis, Jumaat & Sabtu pada jam 6 petang
Tiket boleh didapati dengan tempahan dengan menghubungi +671‑646‑8000, atau e-mel: info@baldyga.com
Lebih banyak lokasi & aktiviti menarik wajib cuba
Sebenarnya terdapat banyak lagi lokasi menarik dengan sejarah dan keindahan alam boleh dilawati di Guam. Pengunjung perlu lebih lama di Guam untuk meneroka kesemua lokasi.
Bukan sahaja keindahan alamnya yang mengasyikkan, malah anda boleh penuhi waktu cuti dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya parasailing, jetski, snorkeling, banana boat dan juga terbang melihat pulau Guam dengan pesawat ringan Cessna.



Sebagai tambahan, Guam juga merupakan lokasi pangkalan tentera Amerika Syarikat (US Naval Base Guam). Lokasinya yang strategik menjadikannya penting untuk operasi ketenteraan, terutama dalam menghadapi ketegangan serantau seperti di Laut China Selatan, Semenanjung Korea, dan Taiwan.
Guam dianggap sebagai “kapal induk tetap” di tengah-tengah Lautan Pasifik.

Terdapat dua pangakalan tentera antaranya; Pangkalan Udara Andersen (Andersen Air Force Base) dan Pangkalan Tentera Laut Guam (Naval Base Guam).
Anda boleh layari laman web https://www.guamvisitorsbureau.com/ atau https://www.visitguam.com/ untuk info lanjut.
