Kuala Lumpur – Di sebalik kejayaan visual dan kandungan digital yang sering tular dari jenama fesyen terkenal Christy Ng, berdirinya satu pasukan kreatif dalaman yang dikenali dengan nama yang agak luar biasa dikenali Bengap Brothers.
Mereka bukan sekadar pasukan kandungan biasa. Mereka adalah kumpulan lima anak muda berbakat yang telah menjadi tulang belakang kepada pendekatan visual dan naratif jenama ini sejak beberapa tahun lalu. Dengan kreativiti yang luar biasa dan semangat kerja yang tidak pernah luntur.
Bengap Brothers kini menjadi nadi penting dalam membentuk suara, gaya dan jiwa jenama Christy Ng.
Bengap Brothers terdiri daripada lima individu kreatif yang datang daripada pelbagai latar belakang profesional termasuk penggambaran, penyuntingan video, penulisan skrip, pengarahan seni dan rekaan grafik. Walaupun nama mereka mungkin kedengaran lucu dan bersahaja, hasil kerja mereka terbukti luar biasa dan berimpak tinggi.

“Nama Bengap Brothers ini adalah idea dari pengikut platform kami, ini kerana gaya, kandungan humor dan wajah yang bersahaja itu menjadi tarikan para netizen.
“Segala idea konten, lawak, sketsa yang kami paparkan adalah hasil perbincangan kesemua team dan saya sendiri tidak menyangka ia mampu meraih jutaan tontonan di kesemua platform media sosial kami” kata Christy Ng, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif jenama ini.
Jelasnya, peranan mereka bukan sahaja menghasilkan video promosi namun mencipta kempen visual yang menyentuh emosi serta berunsur humor dan nostalgia disamping membangunkan pendekatan “storytelling” unik dalam dunia fesyen tempatan.
“Kami bukan hanya mahu menjual produk, kami mahu menjual cerita. Cerita yang buat orang ketawa, tersentuh, dan paling penting ingat siapa kami,” tambahnya lagi.
Basikal Merah Jambu: Simbol Ikonik Cerita Christy Ng
Salah satu elemen visual paling dikenali dalam kempen Christy Ng ialah sebuah basikal berwarna merah jambu, warna rasmi jenama ini. Lebih daripada sekadar prop, basikal ini telah menjadi lambang kreativiti Bengap Brothers.
Basikal ini sering digunakan dalam pelbagai sketsa video pendek jenama ini sebagai simbolik elemen tarikan visual.
Kini, basikal merah jambu ini akan sekali lagi tampil sebagai elemen utama dalam kempen terbaru Christy Ng bukan sahaja sebagai simbol visual, tetapi sebagai penghargaan kepada pasukan kreatif yang telah menjadikannya ikonik.
Membina Jenama Melalui Cerita
Kehadiran pasukan digital Christy Ng tidak dibentuk melalui iklan tradisional semata-mata. Sebaliknya, ia dibina melalui pendekatan naratif yang dekat dengan masyarakat, yang menggabungkan emosi, budaya tempatan dan nilai kehidupan seharian.

Bengap Brothers memainkan peranan penting dalam meningkatkan jumlah tontonan video jenama secara organik dan memperkasakan interaksi di media sosial disamping menjadikan Christy Ng sebagai jenama fesyen tempatan yang ‘berjiwa’ dan autentik
Kekuatan utama Bengap Brothers terletak pada gabungan antara estetika visual yang menarik dengan humor yang bersahaja. Mereka tidak takut untuk bermain dengan elemen pelik, dramatik, atau berani selagi ia memberi impak dan kekal setia kepada identiti jenama.
Pendekatan ini menjadikan kandungan mereka bukan sahaja menyeronokkan, malah mudah diingati dan dikongsi.
Dengan peluasan jenama Christy Ng ke pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Filipina, Bengap Brothers kini bersedia membawa semangat dan gaya penceritaan mereka ke tahap global sambil mengekalkan identiti unik yang telah memikat hati pelanggan di Malaysia.
“Gila-gila kami ada sebab. Kami tahu bila nak serius, bila nak bermain. Dan selagi orang tersenyum tengok kerja kami itu cukup bagi kami,” tambahnya.
