101

Cyberjaya – Dunia teknologi kini menyaksikan satu lagi pencapaian apabila robot UGO Mini, ciptaan syarikat teknologi ugo Co., Ltd. dari Jepun, mula menarik perhatian industri di Malaysia. Robot autonomi ini direka khas untuk menjalankan tugas pemeriksaan dan pemantauan secara automatik dalam persekitaran dalaman yang kompleks, sempit, dan sensitif.

Walaupun masih belum ditawarkan secara rasmi di pasaran Malaysia, beberapa syarikat tempatan dalam sektor utiliti, tenaga dan teknologi maklumat dilaporkan menunjukkan minat untuk membawa masuk robot ini sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan dan automasi dalam era Industri 4.0.

Ketua Pegawai Operasi ugo Co., Ltd., Kenta Nakagawa

Ketua Pegawai Operasi, Kenta Nakagawa berkata, robot ini akan mula memasuki pasaran Malaysia bermula tahun 2026 dan pada masa kini telah mula menerima tempahan di kalangan pemain industri di Malaysia.

“Robot ini sesuai digunakan dalam Robotics‑as‑a‑Service (RaaS) bagi industri pembuatan dan pengilangan, bukan itu sahaja malah ia juga sesuai untuk sektor pertanian dimana ia berperanan dalam pengumpulan data, melakukan kerja-kerja inspeksi, pemantauan keselamatan terutamanya di tempat seperti pusat data, bangunan pintar, atau kawasan industri.

“Malaysia merupakan hab digital dan automasi yang strategik bagi permulaan pasaran, misalnya melalui seminar dan pameran disamping lokasi servis, penyelenggaraan, dan integrasi tempatan” katanya dalam sidang media selepas seminar Tech-Garage Vol. VI di Centre of Garage disini.

Jelasnya lagi, robot UGO Mini menonjol dengan reka bentuknya yang kompak dan ringan dan berat sekitar 16 kilogram dengan ketinggian boleh laras antara 62 sentimeter hingga 182 sentimeter. Ia dibina sesuai untuk beroperasi dalam ruang sempit yang kompleks.

Dilengkapi dengan sistem navigasi berasaskan 3D LiDAR, UGO Mini boleh bergerak secara autonomi sambil mengelak halangan. Ia turut mempunyai kamera 4K yang boleh berupaya memantau suis, lampu isyarat, meter analog, dan peralatan lain. Data yang dikumpul kemudiannya dihantar ke platform berasaskan awan (cloud) untuk pemantauan dan analisis secara langsung.

“Robot ini mempunyai jangka hayat praktikal selama 3 hingga 5 tahun penggunaan dengan pantauan dan servis mengikut jadual dan kami percaya teknologi yang ada akan mengalami pembangunan dan kemas kini yang pantas seterusnya kehadiran robot baru.

“UGO Mini secara khusus diperincikan dengan keupayaan periscope yang mampu bergerak antara 30,000 hingga 100,000 kali bergantung kepada kitaran pengecasan bateri dan kebolehgunaan jangka panjang komponen” tambahnya lagi.

Sementara itu, Malaysia turut berperanan sebagai platform pengujian dan validasi pasaran untuk robot UGO Mini di peringkat Asia Tenggara. Secara langsung, usaha ini mampu membina reputasi negara sebagai hab teknologi robotik serantau dan ini memberi peluang besar kepada penggunaan dan integrasi robot.

RaaS membolehkan organisasi menyewa robot tanpa perlu membeli sepenuhnya, menjadikannya lebih mudah diakses oleh syarikat tempatan.

Ciri Pintar Menyerlahkan Potensi Industri

Selain fungsi pemeriksaan asas, UGO Mini turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenalpasti anomali, mengesan kerosakan awal dan menjana laporan automatik. Dengan kelajuan pergerakan antara 0.4 km/j hingga 3.6 km/j dan hayat bateri sekitar 3 jam, robot ini sesuai digunakan untuk rondaan berkala tanpa keperluan campur tangan manusia.

“Robot seperti UGO Mini mempunyai potensi besar dalam mempercepat transformasi digital industri di Malaysia. Ia bukan hanya menjimatkan kos tenaga kerja, tetapi juga meningkatkan keselamatan dan ketepatan dalam pemantauan sistem kritikal.

Selain Malaysia, robot ini juga sedang dikembangkan dan diperkenalkan di pasaran Asia dan juga Amerika Syarikat” katanya.

Dengan peningkatan fokus terhadap transformasi digital, keselamatan pekerjaan, dan efisiensi tenaga kerja, Malaysia dijangka menjadi pasaran yang subur bagi teknologi robotik pintar seperti UGO Mini dalam beberapa tahun akan datang.

Walaupun belum hadir secara rasmi di Malaysia, robot UGO Mini dari Jepun membuka lembaran baharu dalam dunia automasi dan pemeriksaan pintar seterusnya berkhidmat dalam industri-industri utama di negara ini dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading