Kuala Lumpur – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, HABIB, jenama barangan kemas tempatan terkemuka, kembali dengan acara tahunan Bazar Merdeka yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 1 September 2025 di semua bilik pameran HABIB di seluruh negara.
Kempen tahun ini menekankan semangat patriotisme, kebanggaan budaya dan perpaduan dengan membawa rakyat Malaysia bersama-sama meraikan warisan negara melalui barangan kemas, fesyen dan gaya hidup.

Sebagai melengkapkan semangat kebersamaan, pelanggan juga berpeluang menikmati tawaran menarik daripada jenama lain di bawah naungan HABIB termasuk Pandora, Time Zone dan Chantique Jewellery di ibu pejabatnya di Ampang, sekali gus menjadikan sambutan ini lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Mencipta Pengalaman, Bukan Sekadar Barang Kemas
Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer Habib, berkata sambutan Bazar Merdeka bukan sekadar tentang jualan barangan kemas, tetapi juga tentang menyemarakkan pengalaman yang mengingatkan rakyat Malaysia kepada identiti dan warisan bersama.
“Dalam meraikan Merdeka, kami mahu melangkaui barangan kemas dan runcit. Kami ingin mencipta pengalaman yang mengingatkan rakyat Malaysia tentang identiti serta warisan bersama.
“Melalui Bazar Merdeka, kami memberi penghormatan kepada nilai yang menyatukan kita budaya, kreativiti dan semangat kebersamaan sambil menjadikannya relevan untuk generasi akan datang,” katanya.

Bagi menonjolkan kekayaan budaya tempatan, HABIB mempersembahkan semula reka bentuk tradisional seperti ‘Cincin Buah Kana’ dengan sentuhan moden.
Selain itu, koleksi ‘Cincin Merdeka’ turut diperkenalkan dengan rekaan yang menggabungkan warna Jalur Gemilang.

Rekaan unik lain termasuk ‘Cincin Kapal Terbang’ yang diinspirasikan daripada bentuk sayap pesawat, manakala wafer emas HABIB 999.9 menampilkan mercu tanda ikonik Malaysia Bangunan Sultan Abdul Samad dan KLCC melambangkan perjalanan negara daripada era silam hingga kini.
Turut diperkenalkan sempena bulan bersejarah ini ialah koleksi terhad wafer emas 999.9 edisi rumah Peranakan, hasil kajian teliti dan pertukangan halus yang mengetengahkan identiti pelbagai budaya Malaysia.
Selain itu, HABIB meneruskan kerjasama kreatif bersama ikon tempatan melalui koleksi HABIB x Didi & Friends, sebagai tanda sokongan kepada bakat tempatan yang dekat di hati rakyat Malaysia.

Pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman interaktif termasuk aktiviti mesin ‘claw’ di HABIB 2, Ampang Point. Dengan setiap pembelian minimum RM2,000, pelanggan layak memenangi hadiah menarik daripada pelbagai jenama di bawah satu bumbung.
Bagi memberikan lebih keselesaan, bilik pameran HABIB Ampang dan HABIB 2 di Ampang Point akan melanjutkan waktu operasi sehingga jam 10 malam pada 30 dan 31 Ogos, sekali gus memberi lebih masa kepada pelanggan untuk membeli-belah dan menyertai kemeriahan.
