Shah Alam – MotorManiac, jenama sukan permotoran dan gaya hidup di bawah naungan Bateriku, bakal menganjurkan acara tahunan MotorManiac ke-4 pada Sabtu, 6 September 2025 di rooftop MyTown, Kuala Lumpur.
Acara mega sehari penuh ini dijangka menjadi penganjuran terbesar setakat ini dengan lebih 600 kereta modifikasi dari pelbagai kategori termasuk kereta tempatan, JDM, Continental serta Supercar. Dengan panorama langit Kuala Lumpur ketika matahari terbenam sehingga tengah malam, lokasi ini diyakini menjadi tumpuan ramai pengunjung dan pencinta fotografi.
Sinergi barisan rakan strategik dan penaja yang menyokong acara ini antaranya; Astra, UVR, Retro Havoc, Printing, Kahf dan GGR Motor. Manakala panaja rasmi dibarisi oleh Mr Absorber, Kopi Saigon, Driveo dan Petronas Lubricant. Bagi rakan streetwear pula manampilkan Headers, Super Sunday, Abstrax dan Choii Motorsports.
Acara ini nuga turut disokong oleh BWB, Biadap, Downshift, SFS Garage, Indiscrete, Antera Motorsports, 199 Garage dan Placed.
Turut memberi sokongan ialah wakil media antarabangsa termasuk CarCvlt dari United Kingdom, media automotif Australia Clay Wong, serta jurufoto JDM Jepun, Tatsu Miyagawa. Kehadiran mereka menandakan perkembangan positif MotorManiac ke peringkat global.

Festival Automotif, Budaya & Muzik
MotorManiac 2025 bukan sekadar acara pameran kereta, sebaliknya berkembang menjadi sebuah festival budaya automotif yang menyatukan dunia permotoran, gaya hidup dan muzik.
Antara acara yang bakal berlangsung antaranya; pertandingan permotoran, King of Maniac Challenge, ASTRA Cup: 2 Step Competition dan pertandingan Car Limbo.
Bagi peminat dan kolektor model atau mainan miniatur yang diperbuat daripada logam dengan kaedah die-casting, satu mini ekspo diecast bakal menjadi tumpuan disamping konsert hip hop oleh artis terkenal seperti ALYPH, EEMRUN, Dann NQrack dan 53 Universe. Selain itu, acara turut digamatkan dengan kemunculan rapper tempatan, Killa Driz dengan penampilan khas ChronicalZ.

Salah satu tarikan utama edisi kali ini ialah ASTRA Cup, sebuah trofi cabaran baharu yang menambah elemen prestij. Nama pemenang akan diukir pada trofi setiap tahun sehingga edisi berikutnya.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah MotorManiac 2025. Setiap pembelian barangan rasmi MotorManiac atau dua baucar Bateriku bernilai RM40* melayakkan pengunjung menerima tiket cabutan bertuah. Tiga pemenang bertuah bakal membawa pulang hadiah utama berupa motosikal elektrik (EV Bike) keluaran GGR Motors.
Pengunjung Dijangka Mencapai 30,000
Tahun lalu, acara MotorManiac menarik kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang dua hari. Namun bagi tahun 2025, penganjur menjangkakan jumlah yang sama dapat dicapai dalam tempoh sehari, sekali gus mencipta suasana festival yang lebih padat dan meriah.

Pengasas MotorManiac, Mikhail Faizi atau lebih dikenali sebagai Mike berkata, acara ini bukan sahaja tentang kereta atau automotif sahaja namun menonjolkan gaya hidup, budaya dan komuniti masyarakat dalam dunia permotoran.
“Dengan gabungan semua ini di satu lokasi berlatarbelakangkan langit Kuala Lumpur, kami mencipta festival sehari penuh dari pagi hingga tengah malam.
“ASTRA Cup dan rakan media global membuktikan gerakan ini kini bergema di pentas dunia, dan kami jangkakan peningkatan pengunjung dari sebelumnya sekali gus mampu menjadikan acara ini lebih gempak” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran MotorManiac 2025.
Tiket masuk berharga RM20, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun serta orang kurang upaya (OKU) adalah percuma.
Acara bermula seawal 10 pagi dan berakhir pada tengah malam, menjanjikan satu pengalaman unik, penuh tenaga serta memukau buat pencinta permotoran dan gaya hidup di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, acara seumpama ini menunjukkan komitmen syarikatnya dalam membina ekosistem terbaik dalam industri permotoran tempatan.
“Bateriku.com bukan sahaja menjual bateri namun kita berhasrat melebarkan perkhidamatan menjadi sebuah organisasi perniagaan yang jauh lebih besar.
“Kami merancang untuk menambah cabang perkhidmatan kepada medium penyelesaian masalah kenderaan dari A hingga Z, merangkumi bantuan hingga ke bengkel sekiranya kerosakan bukan berpunca daripada bateri.
kami bukan sahaja menyediakan perkhidmatan bateri, malah turut menawarkan bantuan di tepi jalan raya termasuk menghidupkan kenderaan, masalah tayar, kehabisan petrol, kereta terkunci dan trak tunda,” katanya.
Susulan daripada langkah memperluaskan perkhidmatan disediakan itu, Azarol berkata, ia turut membuka jalan kepada syarikatnya untuk bekerjasama dengan syarikat insurans.
Bergerak ke hadapan, Azarol mengakui bahawa syarikatnya mempunyai perancangan untuk meluaskan operasinya ke luar negara berbekalkan dengan keyakinan terhadap kualiti jenama yang berjaya dibina sejak hampir sedekad beroperasi.
Ujarnya, pertemuan bersama pembekal luar juga sudah diadakan khususnya melibatkan rangkaian perniagaan di negara seperti Indonesia dan Thailand.
“Kami mempunyai teknologi, aplikasi yang boleh digunakan di mana sahaja. Paling penting mereka yang berada di lapangan perlu dilatih. Sebelum berkembang ke Indonesia misalnya, harus siap siaga dari segi prosedur operasi standard, sistem dan sebagainya.
“Selain itu, diharapkan aplikasi ini menjadi platform bagi mereka yang ingin membeli alat ganti kenderaan pada masa akan datang,” katanya.
