IMG-20250914-WA0018

Shah alam – Pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil Zahari, melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai artis pertama membuka kedai jualan motosikal elektrik (EV) di Malaysia.

Pembukaan pusat jualan itu dilakukan menerusi syarikat NEO FK Sdn Bhd, milik Farid bersama dua rakan kongsi, Abdullah Sani Abu dan Mohammad Nor Hakim, hasil kerjasama strategik dengan pengeluar EV tempatan, GGR Motor.

Majlis perasmian kedai yang terletak di Seria 88 Business Center, Bandar Setia Alam ini disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dalam suasana penuh meriah, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam industri automotif hijau negara.

Dorongan Ke Arah Mobiliti Hijau

Farid, 44, berkata pembabitan beliau dalam industri EV adalah langkah berani yang mencerminkan kesedaran untuk menyokong mobiliti hijau.

“Saya menyasarkan syarikat mampu mencapai jualan lebih 1,000 unit dalam empat bulan pertama, khususnya di kawasan Setia Alam yang pesat berkembang. Malah, kami sedang merancang membuka cawangan baharu di Kelantan selepas menerima permintaan awal sebanyak 100 unit di negeri itu,” katanya.

Menurutnya, harga motosikal elektrik selepas rebat kerajaan hanyalah sekitar RM1,569, menjadikannya benar-benar mampu milik untuk rakyat.

“Saya percaya inilah masanya rakyat Malaysia mula beralih kepada kenderaan elektrik. Sasaran kami bukan sekadar dari sudut jualan, tetapi juga membina gaya hidup hijau yang lestari,” ujar Farid penuh optimis.

Sokongan Kerajaan Negeri

Dalam ucapannya, Datuk Seri Amirudin menegaskan bahawa transformasi ke arah ekonomi hijau bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan bagi memastikan daya saing Malaysia di peringkat global.

Beliau menekankan, usaha itu memerlukan penglibatan menyeluruh daripada kerajaan, industri dan masyarakat.

“Hari ini kita lihat Farid Kamil berani melangkah ke depan dengan membuka pusat jualan EV. Walaupun kelihatan kecil, ia memberi impak besar dalam membentuk ekosistem mobiliti hijau di Malaysia,” katanya.

Beliau turut memberi contoh kejayaan China yang kini mempunyai lebih 70% motosikal elektrik digunakan di bandar besar, dan menyatakan keyakinan bahawa Malaysia juga mampu mencapai tahap itu sekiranya semua pihak berganding bahu.


Sementara itu, turut dikongsikan keistimewaan motosikal GGR x NeoFK yang memiliki tiga mod kelajuan fleksibel antara 35 km/j, 45–55 km/j dan sehingga 70 km/j dengan masa pengecasan sekitar 6 jam untuk bateri penuh.

Kos penyelenggaraan rendah pula hanya meliputi tayar dan casing bateri yang perlu diservis. Manakala, waranti sehingga 50,000 km.

Terdapat pilihan 6 warna menarik antaranya merah, putih, kuning, oren, biru cair dan merah jambu. Bagi warna biru dan hijau pula bakal dilancarkan pada masa akan datang.

Dari segi harga, motosikal ini ditawarkan pada RM3,999, tetapi dengan rebat kerajaan RM2,400, ia boleh dimiliki pada harga RM1,569 sahaja.

Selain itu, setiap motosikal akan didaftarkan dengan JPJ, layak untuk perlindungan insurans, serta bebas daripada cukai jalan untuk kenderaan elektrik dua roda.

Sumbangan Kepada Agenda Lestari

Perasmian ini dianggap seiring dengan usaha Malaysia mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta strategi kerajaan untuk mengurangkan karbon dan menggalakkan penggunaan EV.

Sebelum ini, Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, menyasarkan pengeluaran 30,000 unit motosikal EV menjelang akhir 2025, dengan lebih 6,000 tempahan awal sudah direkodkan.

Dengan pembabitan figura popular seperti Farid Kamil, inisiatif ini diyakini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya beralih kepada gaya hidup hijau, sekali gus membuka lembaran baharu dalam industri automotif negara.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading