Kuala Lumpur – Syarikat ekosistem peranti AI terkemuka dunia, HONOR, sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila diumumkan sebagai penerima dua anugerah utama di GSMA Digital Nation Awards 2025. Penganugerahan itu mengiktiraf pencapaian cemerlang di rantau Asia Pasifik, dan HONOR menjadi satu-satunya peserta yang membawa pulang dua penghormatan berprestij iaitu Excellence in Digital Inclusion Video Award dan Best Digital Nation Video Award.
Pengiktirafan ini diberikan hasil kejayaan kempen kesedaran HONOR bertajuk “Freeze for ALS, HONOR the Challenger” yang mengetengahkan isu penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS). Video berkenaan dipuji kerana menampilkan bagaimana teknologi mudah alih mampu memacu kelestarian, keterangkuman digital serta inovasi. Ia menewaskan 17 finalis lain sebelum dinobatkan sebagai pemenang utama.

ALS ialah sejenis penyakit saraf progresif yang sering menyebabkan pesakit hanya dapat mengawal pergerakan mata. Bagi membantu pesakit seumpama ini, HONOR telah membangunkan teknologi AI pelbagai mod dengan fungsi pengesanan pergerakan mata (eye-tracking), yang membolehkan pengguna mengawal telefon pintar sepenuhnya—daripada membuka notifikasi hinggalah melancarkan aplikasi hanya dengan pergerakan mata. Teknologi ini memberi operasi tanpa sentuhan sekaligus meningkatkan tahap akses digital golongan kelainan upaya.
“Sebagai satu-satunya penerima dua anugerah GSMA APAC Digital Nation tahun ini, HONOR amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini. Ia mencerminkan komitmen teguh kami dalam membentuk masa depan digital yang lebih inklusif dan mampan, di peringkat global mahupun tempatan. HONOR MY Life, HONOR MY Future!”
Justin Li, Presiden HONOR South Pacific
Perkukuh Kepercayaan Digital & Keselamatan Siber
Pada sesi ucaptama Digital Nation Summit Kuala Lumpur (ASEAN Edition) bertajuk “Cybersecurity and Digital Trust: Safeguarding ASEAN’s Digital Future”, Justin Li menegaskan bahawa keselamatan digital yang berkesan mesti berpaksikan inovasi berorientasikan manusia serta kerjasama strategik.

“HONOR bekerjasama rapat dengan pengawal selia, platform dan rakan kongsi perisian bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat. Di Malaysia, kami turut berkolaborasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta MyDigital ID untuk memperkukuh akses digital yang selamat dan lancar, di samping melindungi privasi pengguna,” katanya.
HONOR juga mengintegrasikan teknologi AI Deepfake Detection ke dalam telefon pintarnya bagi mengesan kandungan palsu atau dimanipulasi ketika panggilan video. Teknologi ini ditawarkan tanpa kos tambahan, membuktikan komitmen jenama tersebut terhadap keselamatan, privasi dan kepercayaan digital pengguna.
“Keselamatan siber bukanlah kos tambahan, tetapi keperluan asas. Di pasaran membangun seperti ASEAN, faktor kemampuan harga amat penting. Sebab itu HONOR terus menawarkan peranti terbaik pada harga berpatutan. Model terbaharu siri pertengahan popular HONOR, X9d 5G, dilengkapi ciri keselamatan seperti Fingerprint ID dan Face Recognition,” jelasnya lagi.
