Kuala Lumpur – Industri filem tempatan bakal diserikan dengan sebuah lagi naskhah romantik komedi berjudul Kata Hati yang tampil sebagai karya santai, namun tetap membawa lapisan emosi yang menyentuh perasaan penonton.
Filem arahan Nadiah Hamzah itu mengangkat kisah cinta moden yang berlatar dunia glamor selebriti, namun disulami konflik kehidupan sebenar yang berlaku di sebalik sorotan kamera. Ia menggabungkan elemen humor, romantik dan drama dalam satu penceritaan yang mudah didekati penonton.


Menurut pengarahnya, Kata Hati dihasilkan dengan pendekatan lebih ringan berbanding karya sebelum ini, namun masih mengekalkan sentuhan emosi agar mesej cinta dan hubungan manusia dapat dirasai dengan lebih mendalam oleh penonton.
“Saya cuma mahu hasilkan sesuatu yang saya sendiri suka dan rasa sudah lama tidak ditonton. Bila kita buat sesuatu yang kita suka, harap rasa itu sampai kepada penonton,” katanya.
Filem ini turut memperlihatkan pertembungan dua dunia berbeza apabila seorang pelakon wanita popular berdepan kehidupan peribadi yang tidak semudah yang disangka, sebelum bertemu dengan seorang lelaki biasa yang membawa perspektif berbeza dalam hidupnya.
Sementara itu, pelakon utama, Nia Atasha mengakui tidak menjangkakan dipilih membawakan watak Ayra Natasha kerana sebelum ini lebih banyak menerima tawaran watak serius dan aksi.

Nia berkata, pada awalnya beliau menjangkakan filem itu sekadar kisah cinta biasa sebelum menyedari jalan ceritanya turut diselitkan elemen aksi.
“Sebenarnya saya tidak biasa dengan genre romantik komedi, sebab saya nampak garang. Selalunya saya dapat watak aksi, atau karakter yang lebih serius. Jadi peluang ini memang saya hargai,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelakon, Yusof Hashim berkata cabaran terbesar adalah menghidupkan watak pemandu e-panggilan supaya kelihatan semula jadi dan dekat dengan realiti masyarakat.

Katanya, beliau membuat pemerhatian terhadap cara pemandu e-panggilan berinteraksi dengan penumpang termasuk gaya percakapan dan rutin harian bagi memastikan watak itu lebih autentik.
“Lawak tak boleh dipaksa. Elemen komedi perlu hadir secara semula jadi dan terasa realistik,” katanya.
Diterbitkan oleh Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd., naskhah ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris yang membawa watak utama dalam kisah tersebut.

Pengarah dan penerbit berharap filem ini dapat memberikan pengalaman tontonan yang menghiburkan, ringan tetapi tetap meninggalkan kesan emosi kepada penonton, khususnya dalam menggambarkan realiti cinta dalam dunia moden yang serba mencabar.
Filem Kata Hati dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 4 Jun depan.
