5

SHAH ALAM – Penyanyi dan pengacara terkenal, Elly Mazlein mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya selepas tersentuh dengan semangat perjuangan aktivis kemanusiaan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Menurut Elly, keputusan untuk menutup aurat bukan datang secara tiba-tiba, tetapi lahir dari rasa insaf setelah melihat pengorbanan para aktivis yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi membantu rakyat Palestin.

“Kadang-kadang, jihad seseorang mampu menyentuh hati kita dan membuatkan kita muhasabah diri,” katanya dalam nada penuh keinsafan.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, ditemui selepas mengacarakan pentas akhir program Kilauan Emas 2025, yang turut menyaksikan penampilan pertamanya secara rasmi dengan imej berhijab.

Mengulas mengenai perubahan dirinya, Elly memohon doa daripada orang ramai agar dirinya terus istiqamah dan teguh dalam penghijrahan ini.

“Tiada istilah cuba-cuba pakai tudung. Ini bukan sekadar penampilan, ia satu tanggungjawab. Saya mohon doa agar semuanya dipermudahkan.”

Lebih menyentuh hati, keputusan Elly disambut penuh syukur oleh suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh, yang menyatakan sokongan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

“Suami saya peluk saya dan cium dahi, dia sangat gembira. Alhamdulillah, itu kekuatan besar buat saya.”

Dalam masa sama, Elly menyeru masyarakat agar menghentikan kecaman terhadap aktivis dan misi kemanusiaan ke Gaza. Beliau menganggap segala usaha dan keberanian mereka sebagai satu bentuk perjuangan mulia yang patut dicontohi.

“Kalau kita tak mampu turun ke medan perjuangan seperti mereka, sekurang-kurangnya berilah sokongan dan doa. Jangan cemuh atau persoalkan niat mereka.”

Elly Mazlein kini menyertai barisan selebriti tanah air yang mengambil langkah berhijrah secara terbuka, sekaligus memberi inspirasi kepada ramai peminat, terutamanya wanita.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading