Kuala Lumpur – Suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan menyembunyikan wang tunai berjumlah RM1.3 juta yang dikatakan milik arwah isterinya.
Menurut Ahmad Shah Rizal Ibrahim, wang tersebut sebenarnya adalah hasil titik peluh beliau bersama arwah semasa hayat mereka, dan bukan milik arwah secara bersendirian seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Saya sendiri yang memaklumkan tentang kewujudan wang itu ketika mesyuarat keluarga selepas pemergian arwah. Jadi dakwaan saya cuba sembunyikan wang itu tidak berasas,” katanya dalam satu sidang media di ibu kota.
Beliau menjelaskan, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun pentadbiran pusaka yang dikendalikan secara bersama antara dirinya dan anak tiri. Ini dilakukan sebagai langkah mematuhi proses undang-undang, dan bukannya untuk kepentingan peribadi.

Ahmad Shah turut menegaskan bahawa tuduhan kononnya beliau menyeleweng atau ‘memakan’ harta anak yatim adalah fitnah yang amat berat dan telah disebarkan secara meluas di media sosial sejak beberapa tahun lalu.
“Saya tidak pernah guna wang itu. Malah saya simpan elok-elok untuk diserahkan kepada pihak yang berhak selepas proses undang-undang selesai,” ujarnya.
Peguam beliau, Khairunnasriah Abdul Salam dari firma Tetuan Zaidah Abdul Salam & Co., menjelaskan bahawa segala keputusan berkaitan pengagihan wang hanya akan dibuat selepas kes tuntutan harta sepencarian selesai di mahkamah. Buat masa ini, wang tersebut tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, Ahmad Shah turut memaklumkan bahawa beliau sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya. Ini adalah kali kedua beliau mengambil tindakan sedemikian setelah saman pertama difailkan pada 2022. Keputusan bagi kes pertama dijangka diketahui pada Januari 2026.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah dilaporkan telah mengarahkan Ahmad Shah untuk memberi penjelasan bertulis atas kegagalannya memulangkan wang RM1.3 juta seperti yang diperintahkan. Namun, beliau mendakwa tidak menerima sebarang surat rasmi berkaitan arahan tersebut dan menjelaskan bahawa wang berkenaan masih berada dalam simpanannya.
Allahyarham Faziani meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019 ketika dalam perjalanan menjalankan misi bantuan Ramadan bersama suami. Kenderaan yang dinaiki mereka terbabas, menyebabkan arwah maut di tempat kejadian manakala Ahmad Shah mengalami kecederaan.
