KUALA LUMPUR – Sebuah konsert khas bertemakan anti-buli, Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025, bakal berlangsung pada 7 Disember 2025 (Ahad), jam 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan barisan artis tempatan popular dalam satu misi bersama menentang budaya buli di negara ini.
Konsert anjuran Nusavue (www.nusavue.my) ini membawa mesej utama bahawa diam bererti membiarkan buli terus berlaku, dan mengajak masyarakat untuk lebih berani bersuara demi melindungi golongan yang tertindas.
Menurut wakil penganjur, konsert ini bertujuan menjadikan muzik sebagai medium perubahan sosial, selain meningkatkan kesedaran dan empati dalam kalangan masyarakat, terutamanya pelajar, keluarga, dan komuniti secara umum.

“Buli bukan hanya isu sekolah. Ia adalah gambaran budaya masyarakat yang perlu diperbetulkan bersama. Kita ingin rakyat Malaysia bersatu dan berani bersuara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Antara artis yang akan membuat persembahan termasuk Datuk Ramli Sarip bersama Cradle Band, Alpha, Bella Astillah, Nadeera, Wani Kayrie serta Liza Aziz selaku artis undangan khas. Gabungan artis dari pelbagai genre ini dilihat sebagai simbolik perpaduan rentas generasi dalam perjuangan menentang penindasan.
Konsert ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik dan organisasi CSR, antaranya Yayasan Ikhlas, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, serta SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) melalui program khas DOKPANIC Special Edition. Turut serta sebagai rakan media dan strategik adalah Gempak, Mic Bocor, AQA, Right Balance Private dan La Denta.
Tiket konsert boleh didapati bermula 14 Oktober 2025 menerusi laman web www.myticketempire.com dan www.nusavue.my. Pihak penganjur menjangkakan sambutan hangat dan menyarankan pembelian awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025 diangkat bukan sekadar sebagai acara hiburan, tetapi sebagai satu gerakan nasional untuk membina masyarakat yang lebih penyayang, hormat-menghormati, dan berani menolak segala bentuk penindasan – sama ada di rumah, di sekolah, mahupun dalam talian.
