Kuala Lumpur – Jenama makanan segera ikonik dari Malaysia Timur, SugarBun, kini melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia dalam misi memperkenalkan keunikan cita rasa Borneo kepada seluruh rakyat negara ini.
Langkah strategik ini dimeterai melalui kerjasama antara SB Supplies & Logistics Sdn Bhd (anak syarikat kepada Borneo Oil Bhd) dan Sedaplycious Sdn Bhd, yang dilantik sebagai rakan kongsi francais induk rasmi untuk pasaran Semenanjung.
Diasaskan lebih empat dekad lalu di Sarawak, SugarBun telah berkembang daripada perniagaan kecil kepada rangkaian restoran terkemuka dengan lebih 104 cawangan di Sabah, Sarawak dan Brunei.
Kini, jenama itu bersedia melangkah ke peringkat seterusnya membawa menu popular seperti Broasted Chicken, Savoury Rice dan Fish Burger yang menjadi kegemaran ramai di Malaysia Timur ke pasaran Semenanjung.
Menurut Datuk Joseph Ambrose Lee, Pengarah Urusan BornOil dan SugarBun, kerjasama ini bukan sekadar peluasan komersial tetapi sebahagian daripada strategi membina jaringan ekonomi tempatan.
“Dengan Sedaplycious sebagai rakan kongsi francais induk, kami yakin usaha ini dapat memperkukuh ekosistem keusahawanan, mencipta peluang pekerjaan serta memperkasa pembekal dan usahawan tempatan,” katanya.
Dalam masa sama, model francais SugarBun Express turut diperkenalkan menawarkan konsep restoran bersaiz kecil dan berimpak tinggi yang memerlukan modal pelaburan lebih rendah.
Langkah ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada usahawan baharu, khususnya di kawasan bandar kecil dan luar bandar.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pengenalan produk terbaharu jenama Sabacco, iaitu Sos Cili Halia Liar Tuhau Borneo diinspirasikan daripada rempah ratus asli Kadazan-Dusun.
Gabungan rasa pedas dan masam sos ini menjadi simbol bagaimana budaya kulinari Borneo diangkat ke arus perdana.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyifatkan inisiatif ini sebagai bukti kemampuan jenama tempatan untuk menembusi pasaran nasional tanpa mengorbankan identiti asal.
“SugarBun membawa bukan hanya nama Borneo, tetapi semangat dan keaslian rasanya ke seluruh Malaysia dan inilah contoh model pembangunan jenama tempatan yang harus dijadikan inspirasi,” katanya.
Bagi Sean Leong, Pengasas Sedaplycious, kolaborasi ini merupakan peluang untuk memperkenalkan cita rasa Malaysia Timur secara lebih meluas.
“Visi kami adalah membawa keunikan rasa Borneo kepada seluruh rakyat Malaysia, dan dalam masa sama mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan,” jelasnya.
Dengan langkah berani ini, SugarBun bukan sekadar memperluas empayar, tetapi membawa bersama warisan rasa, budaya, dan semangat keusahawanan dari bumi Borneo.
Semenanjung kini bakal menyambut satu lagi ikon kulinari tempatan yang membuktikan jenama Malaysia juga mampu menjadi kebanggaan global.
