KUALA LUMPUR – Penyedia platform e-dagang dilihat sekali lagi menyesuaikan struktur caj yuran komisen kepada para penjual apabila Shopee mengumumkan peningkatan kadar komisen baharu yang akan berkuat kuasa pada 21 Mei 2026.
Menerusi perubahan terbaharu itu, kadar maksimum komisen yang sebelum ini ditetapkan sehingga 16 peratus akan dinaikkan kepada maksimum 17 peratus, bergantung kepada kategori produk yang dijual di platform berkenaan.

Bagaimanapun, caj komisen tersebut tidak seragam bagi semua kategori kerana ia ditetapkan mengikut jenis produk. Dalam masa sama, kategori elektronik kekal dengan kadar caj sedia ada tanpa sebarang perubahan.
Peningkatan kadar ini menjadikan ia antara pelarasan semula caj platform yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan selepas kenaikan terdahulu, sekali gus memberi kesan kepada kos operasi para penjual di platform tersebut.
Sehubungan itu, penjual di Shopee disaran menyemak semula struktur caj komisen masing-masing serta merancang semula strategi penetapan harga dan pemasaran produk bagi mengekalkan daya saing dalam pasaran e-dagang yang semakin kompetitif.
