AMPANG – Jenama barangan kemas tempatan, Salamah Gold & Jewellery terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri emas tempatan apabila merasmikan pembukaan cawangan ketiganya di Galaxy Ampang Shopping Centre di sini baru-baru ini.
Pembukaan cawangan baharu itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat syarikat berkenaan selepas kejayaan operasi mereka di Kajang serta Medan Gopeng, Perak dalam memenuhi permintaan pelanggan terhadap koleksi emas moden dan berkualiti.

Menurut pengurus cawangan Ampang, Mohd Bukri Osman, nama “Salamah” dipilih sebagai simbol penghargaan kepada ibunya, Salamah Salleh yang menjadi sumber inspirasi serta kekuatan sepanjang perjalanan beliau membina perniagaan tersebut.
“Bagi saya, ibu adalah simbol kekuatan dan pengorbanan. Nama Salamah dipilih bukan sahaja mudah diingati, malah membawa nilai kasih sayang keluarga, keberkatan dan legasi yang ingin kami bina dalam jenama ini,” katanya ketika sidang media sempena majlis pelancaran itu.
Majlis perasmian berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada pelanggan, rakan strategik perniagaan, komuniti automotif serta tetamu jemputan yang memeriahkan suasana sepanjang acara berlangsung.

Selain menampilkan pelbagai koleksi emas moden dan eksklusif, Salamah Gold & Jewellery turut mengetengahkan konsep ruang beli-belah yang lebih santai, moden dan mesra pelanggan bagi memberikan pengalaman membeli emas yang lebih selesa kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam usaha menarik generasi muda mendekati industri emas, pihak pengurusan optimis bahawa emas kini bukan sekadar aksesori fesyen, malah semakin mendapat perhatian sebagai instrumen simpanan dan pelaburan jangka panjang.
Acara pelancaran itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran kereta mewah Lamborghini pelbagai model serta motosikal berkuasa tinggi Ducati yang menjadi tarikan utama pengunjung untuk bergambar dan menghasilkan kandungan media sosial berkonsepkan “Outfit of the Day” (OOTD).

Turut diadakan ialah pertandingan mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah serta pelbagai hadiah eksklusif untuk pelanggan yang membuat pembelian sepanjang acara berlangsung.
Mengulas lanjut, Mohd Bukri berkata, pendekatan layanan mesra pelanggan menjadi antara kekuatan utama jenama tersebut dalam memastikan setiap pelanggan mendapat pengalaman terbaik ketika berurusan di kedai mereka.
“Kami percaya layanan yang baik dan mesra pelanggan adalah kunci utama untuk memastikan pelanggan selesa dan terus memilih Salamah Gold & Jewellery tanpa mengira usia atau latar belakang,” ujarnya.
Sementara itu, ibu pengasas, Salamah Salleh turut meluahkan rasa syukur dan bangga melihat perkembangan perniagaan yang diasaskan anaknya itu.
“Sebagai seorang ibu, saya sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Semoga nama Salamah ini terus membawa keberkatan dan menjadi pilihan masyarakat untuk mendapatkan emas berkualiti,” katanya.


Salamah Gold & Jewellery turut menawarkan harga ‘trade-in’ yang kompetitif, koleksi emas baharu pada harga istimewa, jualan emas preloved serta kos upah yang berpatutan bagi memenuhi keperluan pelanggan daripada pelbagai peringkat.
Mengangkat tagline “Legasi Kemewahan”, jenama itu turut memperkenalkan pelbagai koleksi moden antaranya Marissa dan Cecilia yang direka khas sesuai digayakan dalam pelbagai acara dan gaya hidup masa kini.
