57

Kuala Lumpur – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad mengumumkan satu kerjasama strategik dengan Weixin Pay, yang lebih dikenali sebagai WeChat Pay, melalui satu penyelesaian khusus iaitu Weixin Mini Program bagi membantu meningkatkan perniagaan para peniaga yang bernaung di bawah CIMB.

Inisiatif ini menandakan satu langkah penting dalam membolehkan pembayaran rentas sempadan yang lebih lancar, meningkatkan keterlihatan peniaga Malaysia, serta memperkasakan perniagaan untuk menarik pelancong China yang celik digital dan berkunjung ke Malaysia.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen CIMB dalam memperkukuh transaksi rentas sempadan, sekali gus membolehkan peniaga tempatan menawarkan pengalaman pembayaran yang mudah dan dipercayai kepada pengguna China melalui Weixin Pay, salah satu platform pembayaran paling meluas digunakan di China.

Melalui integrasi Program dan Weixin Pay, peniaga di Malaysia dapat mempamerkan tawaran mereka secara digital, berinteraksi dengan pelancong China sebelum ketibaan ke negara ini, serta memudahkan transaksi di kedai fizikal melalui DuitNow QR. Ekosistem hujung ke hujung ini memberikan kemudahan kepada pelancong dan kelebihan daya saing kepada peniaga Malaysia, khususnya dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman serta hospitaliti.

Daniel Cheong, Ketua Perbankan Pengguna Malaysia, CIMB berkata,
“Kerjasama ini menegaskan usaha CIMB dalam memajukan keterhubungan rentas sempadan serta mewujudkan peluang yang meningkatkan kesejahteraan komuniti dan perniagaan, selaras dengan tujuan kami iaitu Advancing Customers and Society.

“Dengan memanfaatkan keupayaan digital CIMB bersama capaian global Weixin Pay yang meluas, kami membolehkan peniaga menjangkau pelancong bernilai tinggi dan menyertai ekonomi digital dengan lebih menyeluruh. Melalui Program ini, peniaga memperoleh akses kepada platform yang sudah biasa digunakan oleh pengguna China, sekali gus memudahkan pelancong untuk menemui, berinteraksi dan bertransaksi secara lancar malah sebelum tiba di Malaysia. Kerjasama ini mengukuhkan misi kami untuk menyediakan keterhubungan, kemudahan dan pertumbuhan komersial kepada perniagaan di seluruh negara.” katanya.

Menurut laporan Kementerian Pelancongan, Malaysia menerima hampir 1.8 juta pelancong dari China dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2025, dan jumlah ini dijangka terus meningkat. Kerjasama CIMB dengan Weixin Pay ini dilihat bertepatan dengan musim puncak pelancongan pelawat China, sekali gus memastikan peniaga berada dalam kedudukan terbaik untuk merebut permintaan semasa tempoh kemasukan pelancong yang sibuk. Seiring dengan Visit Malaysia 2026, kerjasama ini akan terus memperluaskan peluang perbelanjaan rentas sempadan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama dalam kalangan pelancong antarabangsa.

David Chong, Penolong Pengarah Serantau Asia Tenggara, Weixin Pay berkata,
“Malaysia telah menjadi salah satu pasaran tumpuan utama bagi peluasan Program ini, didorong oleh permintaan kukuh daripada perniagaan tempatan yang ingin mencapai pelancong China melalui saluran digital. Weixin Pay secara aktif memperkukuh ekosistem kami di Malaysia daripada inovasi pembayaran hingga kepada pemerkasaan peniaga dan kerjasama dengan CIMB ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan tersebut.”

Mulai 1 Januari 2026, peniaga yang menyertai Program ini akan menerima halaman peniaga khusus dalam ekosistem Weixin Pay untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka. Mereka akan menikmati keterlihatan tinggi dalam ekosistem tersebut, penemuan berasaskan lokasi, kempen promosi, serta akses kepada data dan pandangan mengenai peningkatan trafik dan niat pembelian, yang didorong oleh trend carian sebelum perjalanan dan semasa berada di destinasi.

Peniaga yang menyertai juga dapat mengatasi halangan lazim seperti kos integrasi yang tinggi, keperluan teknikal yang kompleks serta keterlihatan terhad kepada pengguna China, melalui proses pendaftaran yang dipermudahkan dan kos efektif tanpa integrasi yang rumit. Selain itu, mereka akan menerima kadar pertukaran eksklusif, menjadikan transaksi rentas sempadan lebih mampu milik dan lancar. Daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga ke destinasi peruncitan utama, Program ini memperkasakan perniagaan untuk bersaing secara berkesan dalam pasaran serantau yang berteraskan digital.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading