Daripada tarikan rumah berhantu dan pertempuran Beyblade hingga permainan video serta aktiviti kreatif, festival ini menawarkan pelbagai pengalaman untuk semua peringkat umur.
KUALA LUMPUR – Daripada pengalaman rumah berhantu yang mendebarkan hingga pertandingan Beyblade yang sengit, SlyBear Scary Good Fest 2026 menghimpunkan peminat permainan video, pengumpul barangan hobi dan keluarga selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti hiburan, kreativiti serta pengalaman bersama di The Goodday Milk Factory, Petaling Jaya.
Goodday Milk, dengan kerjasama penganjur acara SlyBear Eatery Sdn. Bhd. dan Topcom Sdn. Bhd./Pulse Project Asia, menganjurkan SlyBear Scary Good Fest 2026 di The Goodday Milk Factory dari 23 hingga 25 Oktober 2026.
Festival selama tiga hari ini mengubah destinasi gaya hidup seluas lima ekar milik jenama tersebut menjadi lokasi pertemuan yang meriah untuk keluarga dan komuniti. Pelbagai aktiviti hiburan serta pengalaman menarik disediakan bagi pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Antara tarikan utama festival ini ialah rumah berhantu dan Cursed Royal Carriage yang menawarkan pengalaman luar jangka kepada pengunjung. Sementara itu, peminat permainan video berpeluang menguji kemahiran masing-masing menerusi kejohanan e-sukan yang menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM2,300.
Kemeriahan turut diteruskan menerusi pertandingan Beyblade X yang dianjurkan dengan kerjasama Warung Hobi dan WAIBBA. Sesi bimbingan khas bersama Akmal, juara G1 Malaysia 2025 dan wakil negara ke Kejohanan Dunia, serta Tito O turut memberi peluang kepada peminat untuk mempelajari teknik permainan daripada pemain berpengalaman.
Bagi pengunjung lebih muda, pertandingan seni untuk kanak-kanak berusia enam hingga 16 tahun menyediakan ruang untuk mereka mengetengahkan kreativiti melalui karya yang diinspirasikan oleh kartun, komik, adiwira, anime dan budaya popular.
Menghimpunkan pelbagai komuniti
Bagi Goodday Milk, penganjuran SlyBear Scary Good Fest mencerminkan visi lebih luas di sebalik pembangunan The Goodday Milk Factory, iaitu destinasi gaya hidup yang direka untuk menghimpunkan orang ramai, idea dan komuniti melalui pengalaman bersama.
Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., berkata, “Goodday sentiasa percaya bahawa amalan hidup sihat perlu dipermudah. Namun, gaya hidup sihat pada masa kini bukan sekadar berkaitan pemakanan. Ia juga merangkumi usaha menyatukan masyarakat, membina hubungan dan mewujudkan pengalaman yang memperkayakan kehidupan seharian. Inilah visi di sebalik The Goodday Milk Factory, sebuah ruang yang menghimpunkan pelbagai pengalaman positif.

“Melalui kerjasama seperti SlyBear Scary Good Fest, kami berharap ruang ini terus menjadi tempat yang mengalu-alukan pelbagai komuniti, minat dan generasi. Ini merupakan peluang untuk Goodday menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia di luar kediaman mereka, di samping menyokong penganjur yang menawarkan pengalaman baharu dan bermakna kepada masyarakat.”
Penganjuran festival tiga hari ini menambah kepelbagaian aktiviti komuniti yang ditawarkan di The Goodday Milk Factory. Ia turut memperlihatkan bagaimana kerjasama dengan penganjur yang bersemangat dapat membuka peluang baharu kepada rakyat Malaysia untuk meneroka minat, berhubung dan menikmati aktiviti bersama.
Sid Ng, Pengasas Bersama merangkap Ketua Chef Eksekutif SlyBear Eatery Sdn. Bhd., berkata, “Apa yang pada awalnya dirancang sebagai acara komuniti kecil akhirnya berkembang menjadi festival selama tiga hari kerana semua pihak yang bekerjasama dengan kami begitu teruja.
“Kami berasa gembira apabila mengetahui bahawa rakan kongsi, kolaborator dan komuniti yang kami santuni begitu bersemangat untuk bersama-sama menjayakan acara ini. Sebab itulah kemasukan ke festival ini adalah PERCUMA untuk semua, dengan bayaran dikenakan bagi pengalaman tertentu.
“Selagi ada makanan yang enak, keseronokan dan orang yang baik di sekeliling kita, kami berharap festival ini menjadi yang pertama daripada banyak lagi festival yang bakal dianjurkan.”
Selain pelbagai aktiviti yang ditawarkan, pengunjung turut berpeluang memenangi barangan eksklusif, koleksi dan hadiah lain menerusi aktiviti festival, pertandingan serta cabutan bertuah.

Pengunjung yang membeli hidangan terpilih bersama Goodday Milk atau Pepsi juga boleh menyertai aktiviti Spin & Win untuk memenangi hadiah serta-merta dan berpeluang memasuki cabutan bertuah.
Festival ini turut menghimpunkan jenama dan rakan komuniti yang mengambil bahagian, termasuk Goodday Charge, Pepsi, U Mobile, Famous Amos, Warung Hobi dan Persekutuan E-sukan Malaysia. Kerjasama ini menyumbang kepada kepelbagaian aktiviti dan pengalaman yang ditawarkan sepanjang festival berlangsung.
Selain pertandingan dan tarikan bertemakan seram, pengunjung juga boleh meneroka ruang jualan barangan hobi yang menampilkan kad dagangan, permainan dan barangan koleksi. Pelbagai permainan karnival, aktiviti interaktif bersama jenama serta pilihan makanan dan minuman turut disediakan.
Aktiviti poskad rasmi Stamp & Win pula menggalakkan pengunjung meneroka pelbagai zon festival dan menyertai aktiviti terpilih untuk berpeluang memenangi hadiah.
