KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan Batik Air Malaysia mengumumkan penambahan kapasiti penerbangan serta kempen tambang tetap bagi menampung permintaan tinggi sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, berikutan lonjakan permintaan perjalanan domestik terutama antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pada sidang media di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral semalam, sempena pelancaran kempen “Fixed Fares for Your Reunion” dan inisiatif Smart Travel Fare oleh Batik Air.
Dalam usaha menangani lonjakan permintaan, Batik Air menyediakan penerbangan tambahan tidak berjadual dari Johor Bahru ke Sibu, bermula 13 hingga 15 Februari 2026 walaupun laluan itu bukan merupakan laluan tetap dalam jadual penerbangan syarikat.
Anthony Loke menjelaskan bahawa permintaan ke Sibu meningkat ketara kerana bandar itu merupakan pintu masuk utama ke kawasan tengah Sarawak seperti Sarikei, sekaligus menjadikan laluan tersebut antara yang paling tinggi dicari semasa musim perayaan ini.
Selain itu, Batik Air turut menambah penerbangan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang antara 12 hingga 14 Februari 2026 untuk memenuhi keperluan penumpang.
Kempen Tambang Tetap “Fixed Fares for Your Reunion”
Sebagai tambahan kepada penerbangan ekstra, Batik Air melancarkan kempen “Fixed Fares for Your Reunion“, menawarkan kadar tambang tetap bagi beberapa laluan domestik sepanjang tempoh perayaan:
- Kuala Lumpur/Subang ke Kuching — tambang sehala bermula dari RM318.
- Kuala Lumpur/Subang ke Kota Kinabalu — tambang sehala bermula dari RM378.
Tempoh tempahan untuk tawaran ini dibuka sehingga 13 Februari 2026 dengan tempoh perjalanan ditetapkan antara 13 dan 16 Februari 2026 bagi memberi fleksibiliti kepada penumpang merancang perjalanan pulang ke kampung.
Inisiatif Batik Air turut melengkapkan dasar kerajaan menetapkan harga maksimum tambang penerbangan pada RM499 (sebelum cukai) untuk laluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.
Menurut Anthony Loke, dasar itu bertujuan menstabilkan harga tiket dan mengelakkan lonjakan drastik seperti pernah berlaku sebelum ini, di mana harga tiket pernah mencecah lebih RM1,000. Kerajaan turut menanggung lebihan kos sekiranya tambang melebihi had yang ditetapkan melalui skim subsidi tahunan.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata inisiatif tambahan penerbangan serta kempen tambang tetap dan program lain seperti Batik Student Fare direka untuk membantu penumpang merancang perjalanan dengan lebih teratur dan kos efektif, terutama semasa tempoh puncak.
Program Batik Student Fare menawarkan pelbagai manfaat termasuk diskaun tambang sehingga 30%, elaun bagasi lebih tinggi, fleksibiliti tarikh penerbangan serta ganjaran untuk ahli keluarga dan rakan.
Datuk Chandran berkata syarikat komited memperluas rangkaian penerbangan, memperkukuh kesalinghubungan domestik dan serantau serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan mobiliti rakyat sepanjang tahun 2026.
Selain fokus kepada permintaan semasa perayaan, Batik Air turut merencanakan perluasan armada dan penambahbaikan prestasi operasi secara berterusan pada tahun ini, termasuk sasaran prestasi tepat masa yang lebih tinggi bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan dipercayai.
