ASTRO_6856

Kuala Lumpur – Filem aksi tempatan paling dinantikan tahun ini, TARUNG: Unforgiven, bakal menemui penonton di 148 pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026. Diterajui oleh pengarah terkenal Razaisyam Rashid, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang memukau dengan gabungan aksi intens, emosi mendalam dan visual berskala besar.

Diterbitkan oleh Alpha 47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw, karya ini mengangkat naratif berani bahawa kehidupan sebenar adalah sebuah ‘gelanggang’ yang penuh cabaran. Tagline “kau cuma ayam sabung” menjadi simbol kepada perjuangan manusia dalam menghadapi konflik hidup, masa lalu dan pilihan yang sukar.

Kisahnya berkisar tentang Hatta, seorang bekas juara silat yang dihantui dosa silam selepas satu tragedi hitam. Demi menyelamatkan kakaknya, dia terpaksa menerima tawaran daripada Paduka Badrul untuk bertarung di gelanggang haram. Tanpa disedari, lawan yang menantinya ialah Isasahabat lama yang kini bertukar menjadi musuh akibat dendam yang belum terlerai.

Naskhah ini digarap dengan penuh emosi oleh Amar Amir bersama Razaisyam sendiri, menghasilkan jalan cerita yang bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga sarat dengan konflik dalaman dan persoalan moral.

Dari segi lakonan, Mierul Aiman memikul tanggungjawab sebagai watak utama dengan penuh tenaga dan karisma, manakala Aedy Ashraf tampil lebih matang dengan watak kompleks yang mencabar keupayaannya. Turut mencuri perhatian ialah Bront Palarae yang sekali lagi membuktikan kredibilitinya di pentas antarabangsa.

Lebih menarik, buat pertama kali Bront digandingkan dengan Zul Ariffin gabungan dua pelakon hebat ini dijangka menjadi antara tarikan utama filem ini, dengan pertembungan lakonan yang penuh intensiti.

Barisan pelakon lain seperti Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Aeril Zafrel dan ramai lagi turut memperkukuh keseluruhan penceritaan, termasuk kemunculan petarung sebenar yang menambah elemen realistik dalam adegan aksi.

Menurut Razaisyam, filem ini membawa makna besar buat beliau dan seluruh pasukan produksi. Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pembikinan, mereka komited menghasilkan karya berkualiti tinggi dari segi penceritaan, lakonan dan teknikal. Malah, penggunaan teknologi bunyi Dolby Atmos turut menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih epik dan imersif.

Bagi Aedy Ashraf yang turut berperanan sebagai penerbit eksekutif, projek ini merupakan satu tanggungjawab besar dan sangat dekat di hatinya. Beliau menyifatkan penglibatannya bukan sekadar sebagai pelakon, tetapi sebagai individu yang turut membawa visi filem ini kepada penonton. Harapannya, TARUNG: Unforgiven dapat diterima sebagai karya tempatan yang berani, matang dan dekat dengan realiti kehidupan.

Menariknya, filem ini turut menampilkan dua runut bunyi eksklusif. Lagu “Test” dibawakan kumpulan Distorted, manakala Noh Salleh menyumbangkan lagu berjudul “Terbang” yang dijangka menjadi siulan ramai.

Sebagai sebahagian daripada promosi, barisan pelakon akan turun padang dalam siri jelajah bermula 8 Mei, merangkumi beberapa lokasi di Lembah Klang, Selatan, Utara dan Pantai Timur sepanjang bulan tersebut.

Selain itu, kolaborasi unik turut diadakan bersama Kunafa Aiwahhh yang memperkenalkan edisi khas Kunafa Tarung, serta Nuhae sebagai rakan kesejahteraan rasmi bagi memperluaskan capaian kempen promosi.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan TARUNG: Unforgiven di pawagam bermula 7 Mei 2026. Tiket awal telah mula dijual sejak 3 Mei—bersedialah untuk merasai sendiri sebuah kisah pertarungan yang bukan sekadar di gelanggang, tetapi dalam kehidupan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading