(Depan, kiri) Wan Agyl Wan Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MARA Liner Sdn Bhd dan (depan, kanan) Farizul Hazli Baharom, Pengarah Urusan Berjaya Rail Sdn Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Selat Abadi Sdn Bhd, bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani. Majlis tersebut disaksikan oleh (dari kiri ke kanan) Mohd Sumali Reduan, Pengerusi MARA Liner Sdn Bhd; Budiman Mohd Zohdi, Pengerusi UniKL Resources Sdn Bhd; Zulfikri Osman, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat; Azmi Amat Murjan, Pengarah Kanan Pelaburan MARA Berhad; serta Amir Azhar Ibrahim, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn Bhd.
Kuala Lumpur – Kumpulan syarikat Berjaya Corporation Berhad (“Berjaya”), melalui dua anak syarikatnya iaitu Selat Abadi Sdn Bhd dan Berjaya Rail Sdn Bhd, mengumumkan satu kerjasama strategik penting bersama MARA Liner Sdn Bhd (“MARA Liner”). Kerjasama ini bertujuan memacu transformasi mobiliti, di samping memperkukuh usaha lokalisasi nasional serta memperkasa penyertaan Bumiputera dalam ekosistem mobiliti dan rel.
Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Selat Abadi Sdn Bhd dan MARA Liner Sdn Bhd sempena karnival ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Kerjasama ini selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) serta komitmen Berjaya dalam memperkukuh rantaian bekalan domestik. Tumpuan utama kerjasama ini merangkumi tiga teras utama:
Lokalisasi Rantaian Bekalan:
Berjaya akan bekerjasama dengan MARA Liner untuk mengenal pasti dan mengintegrasikan vendor Bumiputera berpotensi tinggi ke dalam rantaian bekalan pembuatan serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Pembangunan Bakat dan Integrasi TVET:
Dengan memanfaatkan rangkaian pendidikan MARA, Berjaya akan membangunkan program latihan industri khusus bagi melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan, khususnya dalam sektor teknologi hijau dan perkhidmatan digital.
Pengembangan Keusahawanan:
Bagi menyokong matlamat MARA untuk menyenaraikan syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia, Berjaya akan menyediakan bimbingan serta akses pasaran untuk mempercepat pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem MARA.
Menjelaskan latar belakang inisiatif ini, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad berkata, gabungan kepakaran industri Berjaya dengan sumber bakat luas MARA mampu menjadi pemangkin kukuh kepada pertumbuhan ekonomi tempatan. Menurut beliau, inisiatif ini bukan sekadar berkaitan perniagaan, tetapi usaha membina ekonomi Malaysia yang lebih berdaya tahan dan mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARA Liner Sdn Bhd, Wan Agyl Wan Hassan berkata, kerjasama dengan konglomerat global seperti Berjaya mampu mempercepatkan legasi pembangunan negara yang telah dibina MARA selama enam dekad. Beliau menegaskan bahawa MARA telah melahirkan bakat, perusahaan dan peluang Bumiputera merentasi generasi, dan kini peranan itu diteruskan oleh MARA Liner dalam sektor perkhidmatan industri mobiliti.
Tambah beliau, kerjasama ini menyediakan rangka kerja industri, akses rantaian bekalan serta kekuatan komersial yang diperlukan bagi memastikan fasa transformasi seterusnya negara menyaksikan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna, berdaya saing dan mampan.
Inisiatif ini dijangka bermula dengan program perintis bersama yang memberi fokus kepada pemusatan dan pendigitalan sistem penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), yang dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun 2026.
