WhatsApp Image 2026-02-09 at 23.57.59

Petaling Jaya – Sebagai persediaan menyambut bulan suci Ramadan yang bakal tiba, komuniti Muslimah kini diberi tumpuan khas melalui program kerohanian yang mengangkat tema pemantapan iman dan ketenangan jiwa. Sejajar dengan itu, sebuah majlis bertajuk “Ramadhan dan Kita: Dari Jiwa Turun ke Hati” telah dianjurkan bagi memberi fokus kepada aspek spiritual, bukan sekadar persiapan fizikal semata-mata.

Majlis ini diilhamkan dan dianjurkan oleh Nieza Salon dengan kerjasama gabungan komuniti Legasi Muslimah, termasuk beberapa rakan strategik seperti Seri Wajah, Makcik Urut, UmmyWax dan Kuku Love. Tujuan utama penganjuran adalah untuk membantu para Muslimah menyiapkan diri dari segi rohani, memberi motivasi, serta menanam semangat untuk menjalani ibadah Ramadan dengan lebih bermakna.

Pengasas Nieza Salon, Nursyahiera Masri, menjelaskan bahawa Ramadan adalah masa terbaik untuk “kembali pulang” kepada Pencipta. Beliau menekankan bahawa persiapan menyambut bulan mulia tidak seharusnya tertumpu hanya kepada urusan duniawi seperti persiapan makanan atau aktiviti harian, tetapi perlu bermula daripada hati yang tenang dan jiwa yang bersih supaya ibadah dapat dirasai nikmatnya dengan sepenuh hati.

Pengisian dan Fokus Utama Majlis

Bagi menjadikan majlis lebih bermakna dan berkesan, penganjur menampilkan beberapa penceramah selebriti dan tokoh agama yang berkongsi ilmu berkaitan persiapan rohani menjelang Ramadan. Antara yang hadir antaranya; Ustazah Norbahyah dan Ustaz Wan Akasah, yang menyentuh isu-isu seperti keharmonian keluarga dan pengurusan emosi menjelang Ramadan. Manakala, Ustaz Kazim Elias, yang mengupas tema utama majlis, “Dari Jiwa Turun ke Hati”, dengan tumpuan kepada keikhlasan hati dalam melaksanakan amalan ibadah sepanjang bulan puasa.

Selain itu, majlis turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh ukhuwah serta motivasi bersama pelanggan dan komuniti Muslimah yang hadir. Ini membantu membina semangat dan keyakinan dalam menghadapi cabaran harian sambil mengejar pahala di bulan Ramadan nanti.

“Sempena menyambut kedatangan bulan mulia ini, kami jalinkan ukhuwah dengan pendekatan rohani sebagai persediaan diri, Apabila jiwa tenang dan hati bersih, barulah ibadah itu terasa nikmatnya.

“Ruang perkongsian ilmu mengenai amalan-amalan sunnah yang boleh dipraktikkan sepanjang bulan Ramadan dan memberi peluang kepada kita untuk mendepani cabaran harian sambil mengejar pahala” jelas beliau.

Menurut Nursyahiera, program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan rohani, supaya setiap Muslimah yang hadir dapat melangkah ke bulan Ramadan dengan semangat yang segar dan hati yang lebih lapang.

Selain ilmu dan motivasi, majlis ini turut menekankan pentingnya amalan-amalan sunnah yang boleh diteruskan sepanjang Ramadan, supaya amalan itu bukan sekadar dibuat ketika bulan puasa, tetapi menjadi kebiasaan yang berterusan.

Dengan adanya program seperti ini, peserta bukan sahaja lebih bersedia secara mental dan rohani, tetapi juga lebih memahami erti sebenar Ramadan sebagai bulan penyucian jiwa dan peluang memperbaiki diri sekaligus memberi inspirasi kepada kehidupan seharian yang lebih produktif dan penuh keberkatan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading