Subang Jaya – Aster Edu meneguhkan komitmennya dalam bidang pendidikan selepas lebih sedekad berkhidmat, bukan sahaja membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik tetapi kini merangka strategi untuk melahirkan usahawan tuisyen digital di seluruh negara.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aster Edu, Shahrin Zikri Shahrizaman, berkata kejayaan syarikat itu selama lebih 10 tahun bukan sekadar bertahan sebagai institusi pendidikan swasta tetapi sebagai satu perjuangan memartabatkan kecemerlangan akademik anak bangsa sejak 2021.
Aster Edu bermula secara kecil dengan hanya papan putih dan pen di sebuah rumah kedai, tetapi kini berjaya membantu lebih 100,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menjadikan subjek matematik lebih mudah difahami.
Shahrin berkata, kejayaan tersebut diiktiraf melalui pelbagai anugerah termasuk Excellence In Performance Award, The Titan Growth Award 2025 dan Years Of Service Award 2025 di acara Key Leaders Awards 2025, yang membuktikan dedikasi Aster Edu terhadap pendidikan.

“Industri pendidikan ialah satu perjuangan yang besar dan mencabar. Kami bertahan kerana tanggungjawab untuk melihat setiap pelajar meningkat dan mendapat keputusan cemerlang,” katanya.
Transformasi Aster Edu bermula pada 2021 apabila syarikat ini beralih daripada pembelajaran fizikal kepada model tuisyen dalam talian (online). Shahrin menegaskan langkah itu penting supaya pembelajaran dapat diakses lebih fleksibel oleh pelajar seluruh negara.
Kini Aster Edu dibantu oleh barisan guru berpangkat dan bekas pemeriksa Lembaga Peperiksaan, tetapi tetap memastikan yuran pendidikan mampu milik serendah RM89 untuk empat subjek, selain tenaga pengajar fokus kepada pembelajaran tanpa perlu terlibat dalam kutipan yuran.
Menjelang tahun 2026, Aster Edu memperluas inisiatif dengan memperkenalkan program lesen tuisyen digital untuk membantu orang awam dan bakal usahawan membuka pusat tuisyen dalam talian mereka sendiri.
“Anugerah yang kami terima hari ini adalah bukti komitmen kami terhadap dua entiti iaitu membantu pelajar mengubah gred dan membantu golongan berminat menceburi industri pendidikan digital secara berjemaah,” tambah beliau.
Program perlesenan ini akan menyediakan pemegang lesen dengan sistem, modul dan kepakaran teknikal yang mantap, sekali gus membantu mengurangkan risiko permulaan perniagaan dalam sektor pendidikan digital.
Shahrin berkata strategi ini bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan pelajar, tetapi juga membuka peluang kepada mereka yang berminat menjadi usahawan dalam industri tuisyen digital pendidikan, seterusnya menangani masalah kesukaran pelajar, khususnya dalam subjek matematik.
