Kuala Lumpur – Zoo Negara Malaysia meneruskan tradisi tahunannya dengan menganjurkan program memasak bubur lambuk sempena Ramadan menerusi tema “Sinar Ramadan – Kongsi Rezeki”. Program yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Zoo Negara itu menyaksikan penyediaan sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada komuniti setempat.
Inisiatif tahunan berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dilaksanakan dengan kerjasama rakan penaja utama iaitu Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. dan 99 Speed Mart Sdn. Bhd.. Kolaborasi berkenaan melambangkan komitmen berterusan antara Zoo Negara dan pihak industri dalam menyantuni masyarakat sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

Walaupun Zoo Negara sinonim dengan usaha pemuliharaan hidupan liar dan advokasi pendidikan kepada orang ramai, penganjuran program seumpama ini memperlihatkan sisi kemasyarakatan institusi berkenaan. Program tersebut bukan sahaja menggalakkan amalan berkongsi rezeki, malah mengeratkan hubungan antara kakitangan, penaja dan komuniti sekitar.
Sepanjang program berlangsung, chef daripada Adabi Consumer Industries mengetuai sesi memasak menggunakan resipi istimewa syarikat berkenaan. Mereka turut mengadakan demonstrasi teknik penyediaan bubur lambuk, sekali gus berkongsi kepakaran kulinari bersama peserta yang terlibat.
Sebagai tambahan, 99 Speed Mart Sdn. Bhd. menyumbangkan 1,200 biji telur masin bagi melengkapkan hidangan bubur lambuk, menjadikan edisi kali ini lebih istimewa dan berbeza daripada tahun sebelumnya.
Program berkenaan turut menerima sokongan daripada beberapa pihak lain. Syarikat Go Print & Design menaja 1,000 keping pelekat khas acara untuk dilekatkan pada bekas bubur lambuk yang diedarkan.

Selain itu, The World Bee Museum menyumbangkan 200 botol air madu kepada kakitangan Zoo Negara sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka menjayakan program berkenaan.
Menariknya, selain bubur lambuk ayam dan daging, penganjur turut menyediakan menu tambahan iaitu bubur lambuk rusa, sup rusa serta bubur jagung bagi mempelbagaikan pilihan juadah.
Agihan Kepada Golongan Sasaran
Warga kerja Zoo Negara bersama wakil penaja berganding bahu bermula dari proses penyediaan bahan mentah sehingga pembungkusan akhir. Bubur lambuk yang siap dimasak diagihkan secara berperingkat kepada kakitangan yang bertugas sebelum disalurkan ke pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan, surau dan masjid berhampiran pada hari sama.

Penganjuran program “Sinar Ramadan – Kongsi Rezeki” diharapkan dapat memperkukuh ukhwah persaudaraan antara warga Zoo Negara dan rakan penaja, di samping terus menyemarakkan budaya bersedekah serta semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.
Melalui usaha berterusan ini, Zoo Negara membuktikan bahawa peranannya bukan sahaja tertumpu kepada pemeliharaan hidupan liar, malah turut aktif menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
