WhatsApp Image 2026-03-05 at 13.02.10

Kuala Lumpur – Nama Adriana Ghafar mungkin masih hijau dalam dunia penyiaran dan hiburan tempatan. Anak kelahiran Johor Darul Takzim yang juga merupakan Naib Juara Dewi Remaja 2019 itu, mengambil keputusan berehat sementara dari industri seni demi mengejar cita-cita mengenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Malaya.

“Saya tidak hilang, tetapi berehat sebentar demi utamakan pengajian saya dalam bidang undang-undang.

“Bagi saya, pendidikan itu penting sebagai tiang seri dalam kehidupan namun minat saya dalam dunia lakonan dan penyiaran tidak sedikit pun luntur, ini adalah masa terbaik bagi saya untuk melangkah lebih jauh dalam industri ini” katanya dalam sidang media di hotel JW Marriott, disini pada Rabu.

Menurut Adriana, pendidikan merupakan pelaburan penting dalam membentuk pemikiran serta jati diri seseorang. Pengalaman menimba ilmu di universiti memberi ruang untuknya memahami kehidupan dengan lebih mendalam, sekali gus mempengaruhi cara beliau melihat dunia seni dan industri hiburan.

Berkongsi rasa bangga dengan rakan seperjuangannya yang juga merupakan Juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae, beliau turut meletakkan harapan dapat sebaris dengannya dalam bidang seni ini.

“Walaupun saya merupakan graduan undang-undang, namun tidak semestinya saya perlu bekerja sebagai peguam, begitu juga jika graduan bidang reka cipta perlu bekerja dalam bidang sesuai pengajiannya, tetapi kita boleh aplikasikan pendidikan itu dalam apa jua bidang kerjaya yang dipilih.

“Namun, impian untuk memiliki firma guaman sendiri masih ada, buat masa ini saya mahu memberi sepenuh fokus kepada kerjaya dalam industri hiburan” ujarnya lagi.

Berhasrat membawa nilai-nilai ‘Women Empowerment‘ dalam watak lakonan, beliau berharap ia dapat menyuntik semangat kepada golongan muda untuk menjadi masyarakat lebih berkualiti.

Ditanya tentang kesediaan berhadapan dengan cabaran dalam dunia seni, jelasnya beliau telah mempersiapkan diri lebih-lebih lagi soal kritikan dan kecaman.

“Saya tidak menafikan, apa sahaja bidang dan kerjaya yang kita pilih ada cabaran dan dugaannya, dalam industri seni juga begitu, tetapi saya sudah bersedia dan mungkin juga saya dari latar belakang undang-undang jadi saya lebih matang berhadapan situasi ini.

“Insya Allah, dengan didikan dan professionalism yang diterapkan, saya mampu menanganinya dengan baik” tambahnya.

Selain aktif dalam kerjaya seni, Adriana juga giat memperjuangkan isu berkaitan pemerkasaan wanita melalui kerjasama dengan Women of Will. Usaha tersebut memperlihatkan sisi berbeza dirinya, bukan sekadar sebagai personaliti yang muncul di hadapan kamera, tetapi sebagai seorang wanita yang ingin memanfaatkan pengaruh yang dimiliki untuk tujuan yang lebih bermakna.

Kehadirannya kali ini bukanlah untuk mencetuskan sensasi atau gimik semata-mata. Sebaliknya, ia mencerminkan perjalanan seorang wanita yang berani mengambil masa untuk memperkukuh diri, sebelum kembali melangkah ke pentas yang sama dengan keyakinan yang lebih teguh dan perspektif yang lebih matang.

Kini, Adriana dilihat kembali aktif dalam dunia seni dengan pendekatan yang lebih matang dan berprinsip. Gabungan pengalaman dalam industri hiburan serta latar pendidikan yang kukuh menjadikan beliau antara wajah generasi baharu yang memiliki potensi besar untuk terus berkembang dalam bidang penyiaran, penulisan kreatif dan seni persembahan.

Kemunculan semulanya bukan sahaja menandakan kesinambungan kerjaya seni, malah menjadi simbol perjalanan seorang wanita muda yang mengimbangi minat, ilmu dan cita-cita dalam membina masa depan yang lebih bermakna.

Tambahnya lagi, kini beliau telah menerima beberapa tawaran lakonan dan akan memulakan pengambaran dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading