Kuala Lumpur – Country Heights Holdings Bhd (CHHB) sedang merancang untuk menjenamakan semula Palace of the Golden Horses, sebuah hotel mercu tanda dengan 400 bilik yang terletak di Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor, sebagai sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang syarikat.
Hotel mewah itu kekal sebagai aset penting kepada CHHB dan mempunyai sambungan strategik dengan Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC) serta kawasan sekitarnya. Menghadap pemandangan indah tasik Mines, hotel ini menjadi pusat utama bagi aktiviti rekreasi, acara dan gaya hidup di kawasan tersebut.

Ciri ikonik hotel seperti pintu masuk kereta kuda emas serta reka bentuk dalaman yang teliti menjadikannya antara hotel paling unik dan terkenal di Malaysia, menarik pelawat tempatan dan antarabangsa.
Hotel ini pada asalnya dibangunkan pada tahun 1990-an di tapak bekas lombong Sungei Besi Mine. Ia merupakan sebahagian daripada pembangunan besar yang turut merangkumi Mines Wellness Hotel, The Mines Shopping Mall dan MIECC bagi merancakkan sektor pelancongan, rekreasi dan acara perniagaan.
Pada tahun 2020, hotel ini ditutup sementara untuk kerja naik taraf besar sebelum dibuka semula pada 2021 dengan kemudahan yang diperbaharui. Walaupun berlaku pandemik Covid-19, hotel ini masih beroperasi untuk pelancongan perubatan, dan perkhidmatan perubatan tradisional Cina mendapat permintaan tinggi ketika itu.

Pengasas dan penasihat CHHB, Tan Sri Lee Kim Yew berkata penjenamaan semula Palace of the Golden Horses adalah sebahagian daripada visi strategik yang lebih luas. Pelan itu turut melibatkan peningkatan perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan di bawah GHHS Healthcare, serta pengenalan pengalaman eksklusif berasaskan keahlian di hotel tersebut.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan penglibatan komuniti, membina ekosistem yang mampan serta membuka sumber nilai baharu dalam sektor penjagaan kesihatan, hospitaliti dan gaya hidup, sambil memastikan pematuhan kepada peraturan serta mengekalkan integriti aset dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Jelasnya, cadangan pembukaan semula itu nanti pada pertengahan tahun ini.
Sementara itu, beliau turut menambah bakal membuka satu lagi tarikan pelancongan dan pelaburan dengan membangunkan projek Rumah Kampung Kuda sebagai inisiatif hospitaliti budaya pertama seumpamanya.

Projek ini menyasarkan pembangunan 100 unit berinspirasikan warisan pada tahun ini, dengan anggaran pelaburan sekitar RM200,000 bagi setiap unit. Direka sebagai rumah kampung Melayu autentik berkeluasan kira-kira 400 kaki persegi lengkap dengan kemudahan asas.
Unit pertama telah berjaya disiapkan dalam tempoh tujuh hari sahaja, termasuk kerja landskap.
Dibina berteraskan elemen sungai, tasik dan teratai serta dikelilingi tanaman seperti pandan, serai dan tumbuhan tradisional kampung, Rumah Kampung Kuda Sungai bukan sekadar menawarkan penginapan tetapi satu pengalaman budaya Malaysia yang imersif.




Para tetamu akan menikmati tiga hidangan sehari yang sepenuhnya berasaskan masakan Melayu, dengan nasi lemak diangkat sebagai ikon kebangsaan bertaraf lima bintang.
Lee menegaskan bahawa walaupun syarikat sedang menyelesaikan isu lama, CHHB tetap memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan strategik jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan mampan, inovasi dan penciptaan nilai dalam portfolio perniagaannya.
Tampil Bufet Ramadan “Warisan Citarasa Utara”
Palace of the Golden Horses memperkenalkan pengalaman bufet Ramadan istimewa bertemakan “Warisan Citarasa Utara”, yang berlangsung di Royal Ballroom bermula 21 Februari hingga 15 Mac 2026.
Lebih daripada sekadar hidangan berbuka, Warisan Citarasa Utara direka sebagai pengalaman gastronomi yang membawa para tetamu menikmati pelbagai cita rasa tradisional kampung, sajian tempatan popular serta pilihan hidangan Timur Tengah yang melengkapkan suasana Ramadan. Secara keseluruhan, bufet ini menawarkan lebih 100 pilihan hidangan, termasuk stesen masakan secara langsung yang menyediakan hidangan segar kepada para tetamu.
Antara hidangan utama yang menjadi tarikan bufet ini termasuk Kambing Golek, Sup Gearbox, Lemang bersama Serunding, serta pelbagai pilihan hidangan tempatan yang sinonim dengan bulan Ramadan. Selain itu, para tetamu juga boleh menikmati pelbagai kuih-muih tradisional dan pencuci mulut yang melengkapkan pengalaman berbuka puasa.
Kesemua hidangan disajikan dalam suasana Royal Ballroom yang luas dan selesa di Palace of the Golden Horses, menjadikannya lokasi ideal untuk majlis berbuka puasa bersama keluarga, rakan korporat serta komuniti.
Bufet Ramadan Warisan Citarasa Utara ditawarkan pada harga RM168 nett seorang bagi dewasa, manakala kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun serta warga emas berumur 60 tahun ke atas menikmati harga RM108 nett seorang. Kanak-kanak di bawah umur enam tahun pula boleh menikmati bufet ini secara percuma.
Bagi tempahan berkumpulan, tetamu juga boleh menikmati promosi “1 pax percuma bagi setiap 10 tetamu berbayar”, menjadikannya pilihan menarik untuk majlis berbuka puasa korporat, perhimpunan komuniti serta tempahan kumpulan besar.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan pengalaman berbuka puasa kepada lebih ramai masyarakat, Palace of the Golden Horses turut memperkenalkan Rahmah Flash Deal Ramadan.

Melalui promosi khas ini, tetamu boleh menikmati bufet Warisan Citarasa Utara pada harga RM128 nett seorang bagi hari Ahad dan Isnin, tertakluk kepada tempoh promosi yang ditetapkan.
Hotel ini turut menawarkan pakej sambutan Aidilfitri bertemakan “Raya Feast: Selera Kita – Jamuan Raya 2026.”
Jamuan Raya ini bermula 21 Mac 2026 dengan harga RM188 nett seorang dan minimum tempahan 100 orang, menjadikannya pilihan sesuai untuk organisasi yang ingin meraikan Aidilfitri bersama rakan niaga, pelanggan serta tetamu jemputan.
Orang ramai yang berminat untuk menikmati pengalaman bufet Ramadan ini boleh membuat tempahan bagi memastikan tempat tersedia sepanjang tempoh promosi. Hubungi 016 -290 8400, 012- 202 9176 atau email enquiry@pgh.mines.com.my
