Kuala Lumpur – Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak autisme kini boleh menarik nafas lega apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengumumkan bahawa permohonan Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme 2026 rasmi dibuka bermula hari ini, 15 Mei hingga 15 Julai 2026
Menerusi perkongsian di Facebook, JKM memaklumkan bantuan khas berbentuk ‘one-off’ sebanyak RM1,000 itu diwujudkan bagi membantu meringankan kos pembelajaran dan terapi anak-anak autisme yang layak.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai usaha menyokong keluarga yang mempunyai anak istimewa, khususnya dalam mendapatkan akses pendidikan dan intervensi awal yang lebih baik.

Menurut JKM, antara syarat utama permohonan ialah kanak-kanak tersebut mestilah warganegara Malaysia, mempunyai kad OKU dan berusia bawah 18 tahun.
Dalam masa sama, pendapatan per kapita isi rumah juga tidak boleh melebihi RM5,000 sebulan. Pengiraan per kapita boleh dibuat dengan membahagikan jumlah pendapatan isi rumah dengan jumlah ahli keluarga yang tinggal bersama.
Selain itu, anak autisme tersebut juga perlu mengikuti pembelajaran di pusat yang bertauliah iaitu Pusat Pembelajaran Autisme (PUSPA) yang menyediakan perkhidmatan terapi atau Program Intervensi Awal (EIP).
Menurut statistik sehingga April 2026, seramai 99,459 individu autisme telah berdaftar dengan JKM di seluruh negara.

Cara mohon subsidi yuran pembelajaran autisme 2026
Bagi ibu bapa atau penjaga yang ingin membuat permohonan, berikut langkah yang perlu dilakukan:
1. Isi borang permohonan
Borang boleh didapatkan menerusi laman web rasmi JKM atau di Pejabat Kebajikan Masyarakat berhampiran.
2. Hantar ke PUSPA anak
Borang yang lengkap perlu diserahkan kepada pihak Pusat Pembelajaran Autisme (PUSPA) tempat anak mengikuti pembelajaran.
3. Pengesahan pihak PUSPA
Pihak PUSPA akan membuat pengesahan sebelum menghantar borang lengkap ke Pejabat Kebajikan Masyarakat berdekatan.
4. Tunggu proses kelulusan
Permohonan akan melalui proses semakan dan kelulusan rasmi oleh pihak JKM.
