KUALA LUMPUR – Presint ikonik KLCC bertukar menjadi pusat keceriaan dan kreativiti apabila Suria KLCC berjaya menganjurkan acara Suria KLCC x LEGO® Play Run 2026, yang mencatat sejarah sebagai acara seumpamanya yang pertama diadakan di Asia Tenggara.
Acara yang berlangsung pada 6 Jun lalu itu menghimpunkan ribuan peserta terdiri daripada keluarga, peminat kecergasan dan penggemar LEGO® dalam larian santai interaktif sejauh dua kilometer yang mengelilingi kawasan KLCC Park. Program berkenaan menjadi kemuncak kepada LEGO® MY Play Festival yang berlangsung dari 21 Mei hingga 7 Jun 2026.


Lebih daripada sekadar acara sukan rekreasi, Play Run 2026 menggabungkan elemen gaya hidup sihat, aktiviti interaktif dan pengalaman pembelajaran kreatif dalam suasana yang menyeronokkan. Peserta melalui beberapa hentian aktiviti sepanjang laluan yang direka khas, sekali gus menjadikan pengalaman larian lebih unik dan menghiburkan untuk semua peringkat umur.
Setiap peserta yang menamatkan larian membawa pulang kit eksklusif bertemakan LEGO® serta pingat penamat sebagai kenangan menyertai acara bersejarah tersebut.

Pada waktu malam, suasana sekitar Suria KLCC terus meriah dengan persembahan LEGO® 3D Projection Mapping yang memukau. Paparan visual berskala besar yang dipancarkan pada bangunan Suria KLCC menampilkan animasi pembinaan blok LEGO® serta elemen budaya Malaysia, sekali gus menarik perhatian ribuan pengunjung yang memenuhi kawasan Esplanade.



Selain aktiviti rekreasi, festival tahun ini turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan mental menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dikenali sebagai “Safe Space”. Program yang berlangsung dari 25 Mei hingga 7 Jun itu menyediakan platform sokongan kesihatan mental melalui pelbagai bengkel, sesi pendidikan dan aktiviti terapi dengan kerjasama beberapa organisasi kesihatan mental serta rakan strategik.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, kerjasama dengan The LEGO® Group membuktikan komitmen syarikat dalam membawakan pengalaman bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, gabungan aktiviti fizikal, pengalaman interaktif dan kesedaran mengenai kesihatan mental berjaya mewujudkan platform yang memberi impak positif kepada komuniti serta menggalakkan interaksi dunia nyata dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Sepanjang festival berlangsung, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik di seluruh kawasan Suria KLCC. Antaranya termasuk replika Menara Berkembar PETRONAS yang dibina menggunakan lebih 51,000 blok LEGO®, stesen digital LEGO® Minifigure Converter serta pelbagai pameran kreatif yang mengetengahkan budaya tempatan.


Di kawasan Esplanade pula, pengunjung dapat merasai pengalaman interaktif bertemakan bola sepak menerusi LEGO® Football Play Arena sempena kemeriahan menjelang Piala Dunia FIFA 2026™. Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk permainan bola sepak bersaiz gergasi, foosball manusia dan paparan khas yang meraikan legenda sukan tersebut.
Kejayaan penganjuran Suria KLCC x LEGO® Play Run 2026 turut disokong oleh KLCC Holdings Sdn Bhd sebagai rakan lokasi rasmi serta IHH Healthcare selaku Rakan Kesihatan Rasmi. Sokongan perubatan sepanjang acara turut disediakan oleh Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Prince Court bagi memastikan keselamatan serta keselesaan semua pengunjung.

Penganjuran acara ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan Suria KLCC sebagai destinasi gaya hidup dan pelancongan utama negara yang bukan sahaja menawarkan pengalaman membeli-belah, malah menjadi platform penganjuran acara bertaraf antarabangsa yang memberi nilai tambah kepada komuniti dan industri pelancongan Malaysia.
