Kuala Lumpur – Malaysia mencuri tumpuan dunia apabila Disney’s The Lion King Live in Concert membuat penampilan sulung yang dinanti-nantikan di Dewan Plenari KLCC pada 13 Jun lalu, menyajikan persembahan luar biasa yang menghidupkan kembali nostalgia zaman kanak-kanak kepada penonton daripada pelbagai generasi.
Produksi yang memukau ini menarik kehadiran lebih 5,000 penonton menerusi dua sesi persembahan pada jam 2.30 petang dan 8 malam. Sebagai tanda komitmen terhadap keterangkuman, tetamu daripada tiga rumah kebajikan dan komuniti termasuk Myanmar Refugee Learning Centre, BAKASA dan Rumah Charis turut dijemput merasai keajaiban dunia Disney. Sejurus alunan lagu ikonik “Circle of Life” bergema, penonton dibawa kembali ke Pride Lands, mengimbau perjalanan Simba yang dipaparkan di layar gergasi dan diperkaya dengan persembahan orkestra secara langsung yang mengagumkan.

Nadi utama pengalaman ini ialah Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO) Malaysia dari Istana Budaya yang diketuai oleh Konduktor Residen, Eric Lee. Barisan 72 pemuzik orkestra penuh itu menghidupkan skor muzik ikonik hasil karya pasukan pemenang Oscar® dan Grammy® iaitu Hans Zimmer, Elton John, Tim Rice dan Lebo M. Bergerak seiring dengan tayangan filem, persembahan orkestra tersebut mengubah karya animasi klasik yang digemari ramai itu menjadi sebuah pengalaman sinematik dan muzikal yang bukan sahaja gah, malah menyentuh emosi.
Penonton daripada pelbagai peringkat umur memberikan respons yang amat positif dengan turut menyanyikan lagu-lagu kegemaran sepanjang zaman seperti “Hakuna Matata” dan “Can You Feel the Love Tonight”. Lebih daripada sekadar penghormatan kepada filem klasik Disney tahun 1994, konsert ini membuktikan daya tarikan berterusan The Lion King yang terus menyentuh hati jutaan peminat menerusi tema keberanian, kasih sayang dan takdir.

Di sebalik elemen nostalgia, kejayaan Disney’s The Lion King Live in Concert turut memperkukuh aspirasi budaya dan pelancongan Malaysia sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata: “Disney’s The Lion King Live in Concert merupakan sebuah produksi luar biasa yang menggabungkan hiburan bertaraf dunia dengan persembahan hebat oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO), Istana Budaya.
“Kami memuji usaha Milestone Production kerana membawa pengalaman istimewa ini ke Malaysia. Acara berprestij seperti ini mengukuhkan landskap pelancongan dan hiburan negara, menarik kehadiran pelawat dari seluruh rantau serta menyokong pertumbuhan ekonomi pelancongan secara keseluruhan.
“Tourism Malaysia mengalu-alukan lebih banyak produksi antarabangsa seumpama ini dalam usaha berterusan meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama bagi acara langsung bertaraf dunia” katanya.
Dengan sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Disney Malaysia, UOB Malaysia, Tourism Malaysia, Klook, Mix FM, Lite FM, Cosmo Hotel, Sunway SuperApp, KidZania, Montigo, Pustaka Sri Dunia, Secret Recipe, Gong Cha, Marigold dan lain-lain, produksi ini bukan sahaja membuktikan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah kepada persembahan bertaraf antarabangsa, malah turut mengetengahkan bakat seni tempatan.
Para pemuzik Malaysia berjaya mempersembahkan kualiti persembahan yang luar biasa untuk sebuah produksi yang mendapat pengiktirafan global. Pengarah Urusan Milestone Production, Dato’ Grace Lee berkata: “The Lion King bukan sekadar sebuah karya klasik Disney yang malar segar.

Melalui perjalanan Simba, ia mengingatkan kita tentang nilai-nilai penting kehidupan seperti keberanian dan tanggungjawab, serta usaha mencari tempat kita dalam dunia ini. Kami berbesar hati dapat membawa pengalaman yang tidak dapat dilupakan ini kepada penonton Malaysia dan serantau, sambil mempamerkan bakat luar biasa Orkestra Simfoni Kebangsaan negara.
Terima kasih atas sokongan yang diberikan dan nantikan lebih banyak pengalaman persembahan secara langsung bertaraf dunia serta pelbagai acara menarik yang bakal kami bawakan pada masa hadapan” ujarnya lagi.
