KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, sekali lagi mencipta sejarah dalam perjalanan seni hampir tiga dekad apabila tampil dengan single penuh berbahasa Mandarin pertamanya berjudul Be Like Water.
Lagu tersebut menyaksikan kolaborasi istimewa bersama penyanyi dan komposer berbakat, Firdhaus, sekali gus menggabungkan dua generasi dalam sebuah karya yang membawa mesej perpaduan, ketabahan dan keindahan kepelbagaian budaya.
Menurut Siti Nurhaliza, peluang merakamkan lagu dalam bahasa Mandarin merupakan satu pengalaman baharu yang cukup bermakna buat dirinya.

“Walaupun mencabar dari segi sebutan dan penyampaian, saya amat teruja kerana dapat meneroka sesuatu yang berbeza. Saya berharap lagu ini mampu menyatukan pendengar daripada pelbagai latar belakang serta memperlihatkan keindahan muzik yang merentasi bahasa dan budaya,” katanya.
Sementara itu, Firdhaus menyifatkan kerjasama bersama penyanyi tersohor negara itu sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan karier seninya.
Beliau berkata, Be Like Water bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya membawa mesej agar setiap individu terus cekal menghadapi cabaran hidup, seperti sifat air yang sentiasa mengalir dan mampu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.
Lagu berkenaan mengangkat tema ketabahan, harapan dan perpaduan, dengan susunan muzik moden yang dipadankan bersama lirik puitis dalam bahasa Mandarin, sekali gus memberi nafas segar kepada industri muzik tempatan.

Pelancaran Be Like Water turut mendapat perhatian peminat kerana menjadi single Mandarin penuh pertama yang dirakamkan oleh Siti Nurhaliza sepanjang kerjayanya sebagai anak seni.
Karya tersebut kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama, manakala video muzik rasminya turut dilancarkan bagi melengkapkan pengalaman pendengar terhadap mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu berkenaan.
Kolaborasi berprofil tinggi ini dijangka membuka ruang lebih luas kepada karya muzik Malaysia untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa, selain membuktikan bahawa muzik mampu menjadi medium penyatuan tanpa mengira bahasa dan budaya.
