IMG_20260630_225300_503

KUALA LUMPUR – Cuckoo International (MAL) Bhd (CUCKOO Malaysia) memperkukuhkan komitmennya terhadap pembangunan komuniti apabila melancarkan pelan induk tanggungjawab sosial korporat (CSR) baharu, Projek CUCKOO Loves, Cares, selain memperkenalkan CUCKOO Dream Fund bernilai RM100,000 bagi menyokong bakat kreatif muda tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, pelan induk tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan pertumbuhan perniagaan bergerak seiring dengan sumbangan kepada masyarakat, kesejahteraan komuniti serta kelestarian alam sekitar menerusi pendekatan yang lebih strategik dan tersusun.

Menurut beliau, melalui Projek CUCKOO Loves, Cares, semua inisiatif CSR syarikat akan diselaraskan di bawah satu kerangka yang jelas bagi memastikan impaknya lebih besar, menyeluruh dan memberi manfaat kepada komuniti sasaran.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, CUCKOO turut memperkenalkan CUCKOO Dream Fund dengan jumlah dana keseluruhan RM100,000 bagi membantu golongan muda merealisasikan idea dan projek kreatif mereka.

Dana berkenaan menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 bagi setiap projek kepada individu berusia 15 hingga 30 tahun yang berkecimpung dalam pelbagai bidang kreatif termasuk penghasilan kandungan digital, muzik, seni visual, seni persembahan serta penganjuran bengkel kreatif.

Dalam usaha memperkukuhkan lagi program tersebut, CUCKOO melantik penyanyi Firdhaus sebagai Sahabat CSR CUCKOO yang pertama. Beliau akan berperanan sebagai duta kepada inisiatif kebajikan syarikat selain menjadi mentor kepada peserta yang menerima pembiayaan menerusi CUCKOO Dream Fund.

Permohonan bagi kitaran pertama dana akan dibuka bermula 1 Julai hingga 30 September 2026, melibatkan peruntukan sebanyak RM50,000, manakala baki RM50,000 lagi akan disalurkan menerusi kitaran kedua yang akan diumumkan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan sama, Hoe berkata CUCKOO akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perniagaan teras isi rumah sebagai pemacu utama pertumbuhan syarikat dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Menurutnya, syarikat akan memperluaskan saluran jualan omnichannel di samping memperhebat strategi jualan silang bagi meningkatkan nilai kepada pelanggan sedia ada.

Beliau menjelaskan bahawa segmen isi rumah masih kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat, dengan model sewaan terus menjadi kekuatan utama perniagaan CUCKOO.

Katanya lagi, antara peluang pertumbuhan terbesar yang masih belum diterokai sepenuhnya ialah meningkatkan jualan kepada pelanggan sedia ada melalui penawaran lebih banyak produk dalam portfolio syarikat.

Selain itu, CUCKOO turut merancang memperluaskan perniagaan dalam segmen komersial dengan menawarkan penyelesaian penapis air kepada pelanggan korporat termasuk hotel, restoran dan kafe.

Pada masa sama, syarikat juga memperluaskan rangkaian produknya menerusi kerjasama strategik dengan Samsung Malaysia, membolehkan pengguna mendapatkan produk seperti televisyen dan peti sejuk melalui pelan sewaan yang lebih mampu milik serta mudah diakses.

Dalam memperkukuhkan strategi digital, CUCKOO akan terus memperluaskan capaian pelanggan melalui platform e-dagang dan media sosial termasuk TikTok sebagai sebahagian daripada strategi omnichannel syarikat.

Mengulas prestasi kewangan, Hoe berkata pengukuhan nilai ringgit turut menyumbang kepada peningkatan margin keuntungan syarikat, selain usaha berterusan dalam meningkatkan kecekapan operasi.

Beliau menegaskan CUCKOO akan terus memastikan setiap perbelanjaan memberikan pulangan pelaburan (ROI) yang optimum sambil membina model perniagaan yang lebih mampan, berdaya tahan dan mampu menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat serta memberi impak positif kepada masyarakat.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading