Hock Kee_The Garden Mall_H0014

KUALA LUMPUR – Hock Kee Kopitiam terus mengembangkan jenamanya menerusi pembukaan cawangan kedua Hock Kee Heritage di The Gardens Mall, Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuhkan komitmennya dalam mengangkat budaya kopitiam tempatan dalam suasana yang lebih moden dan eksklusif.

Selepas memperkenalkan konsep Heritage di Medan Pasar sebelum ini, lokasi baharu tersebut membawa pendekatan yang menggabungkan elemen sejarah, seni bina klasik dan pengalaman gastronomi yang memberi penghormatan kepada warisan Malaysia.

Menurut Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng, Hock Kee Heritage diwujudkan bukan sekadar sebagai sebuah restoran, sebaliknya sebagai destinasi yang membolehkan pengunjung menikmati suasana yang mengimbau sejarah sambil mengeratkan hubungan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Beliau berkata, setiap sudut restoran direka untuk mencipta pengalaman yang lebih bermakna, mengajak pelanggan memperlahankan rentak kehidupan dan menghargai nilai kebersamaan yang menjadi identiti masyarakat Malaysia.

Reka bentuk dalaman restoran diinspirasikan daripada seni bina era kolonial Tanah Melayu dengan sentuhan gerbang klasik, jubin bercorak Peranakan, ukiran tradisional serta elemen landskap tropika yang mewujudkan suasana elegan tetapi selesa.

Walaupun mengetengahkan elemen nostalgia, konsep tersebut turut disesuaikan dengan gaya hidup moden, menjadikan Hock Kee Heritage sebagai ruang yang meraikan kepelbagaian budaya dan keterbukaan, selaras dengan semangat sebenar budaya kopitiam Malaysia.

Bersempena pembukaan cawangan baharu itu, Hock Kee Heritage turut memperkenalkan beberapa menu eksklusif yang hanya boleh didapati di restoran berkonsepkan Heritage. Antaranya ialah Cheesy Jumbo River Prawn Bee Hoon, Herbal Chicken with Rice dan Heritage Fried Basmathi Rice with Chicken Satay, yang menggabungkan resipi tradisional dengan sentuhan kontemporari.

Selain menawarkan hidangan berkualiti menggunakan bahan segar, Hock Kee Heritage turut memberi penekanan kepada pengalaman pelanggan melalui suasana restoran, layanan mesra dan kisah di sebalik setiap sajian.

Majlis pembukaan turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan pop tempatan 1119 TRIPLE1NINE yang menyampaikan lagu tema rasmi Hock Kee Kopitiam berjudul KOPITIAM You & Me. Lagu ciptaan Danny Koo itu mengetengahkan keunikan budaya kopitiam Malaysia melalui muzik, lirik dan persembahan yang meraikan kepelbagaian masyarakat negara ini.

Diasaskan di Johor Bahru pada tahun 2018, Hock Kee Kopitiam kini mempunyai 22 cawangan di seluruh negara meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak dan Kelantan. Syarikat itu juga merancang untuk membuka sebuah lagi cawangan di Puteri Hill, Johor Bahru dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya.

Dengan gabungan seni bina warisan, hidangan tempatan dan sentuhan moden, Hock Kee Heritage membuktikan budaya kopitiam Malaysia terus relevan serta mampu berkembang mengikut peredaran zaman tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading