KUALA LUMPUR – CA Academy memperkukuhkan komitmennya dalam pembangunan industri emas tempatan dengan menyasarkan untuk melahirkan 10,000 usahawan emas baharu menerusi pendekatan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Inisiatif itu diwujudkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk membina kerjaya serta menjana pendapatan dalam industri emas yang terus menunjukkan perkembangan positif di Malaysia.
Menurut Pengarah Eksekutif CA Prime Gold, Datuk Abdul Fatah Mohamed Baki, program latihan Gold Consultant License (GCL) dan Gold Prenuer Programme (GPP) yang ditawarkan ini bukan sekadar memberi pengetahuan teori, malah menumpukan kepada latihan praktikal yang memenuhi keperluan industri semasa. Peserta akan didedahkan kepada pelbagai aspek perniagaan emas, termasuk kemahiran teknikal, pemasaran digital, pengurusan perniagaan dan pembangunan jenama.

Pendekatan berasaskan ekosistem TVET diyakini mampu melahirkan tenaga kerja serta usahawan yang lebih kompeten, sekali gus meningkatkan daya saing industri emas tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Sasarannya merangkumi golongan belia, graduan, alumni TVET, usahawan mikro dan kecil, suri rumah, pesara serta pekerja sektor awam dan swasta.
“Program ini turut memberi perhatian kepada komuniti luar bandar yang ingin meningkatkan peluang ekonomi melalui keusahawanan berasaskan kemahiran. Pendekatan inklusif ini diharap dapat merapatkan jurang ekonomi dan membuka laluan pendapatan baharu kepada pelbagai lapisan masyarakat” katanya dalam sidang media di hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Tambahnya, Gold Preneur memperkenalkan Balanced Scorecard untuk mengukur prestasi program melalui empat dimensi: Kewangan, Pelanggan, Proses Dalaman serta Pembelajaran dan Pertumbuhan. Metodologi ini membolehkan penilaian berasaskan data terhadap pertumbuhan jualan, kepuasan pelanggan, kadar tamat latihan dan inovasi digital. Penggunaan metrik terukur membantu memastikan program kekal berkesan dan adaptif kepada perubahan pasaran.
“Gold Preneur bukan sekadar platform jualan emas tetapi sebuah ekosistem pembangunan usahawan yang memadukan pendidikan, latihan, teknologi dan peluang ekonomi.
“Objektif jangka panjang adalah melahirkan usahawan yang berilmu, berkemahiran dan celik kewangan serta bersedia menghadapi ekonomi digital. CA Academy mengalu-alukan penglibatan agensi kerajaan, institusi TVET, IPT, korporat dan NGO untuk mengukuhkan lagi ekosistem ini di peringkat nasional” ujarnya lagi.
CA Academy turut menekankan bahawa pembangunan usahawan tidak seharusnya terhad kepada latihan semata-mata. Sebaliknya, peserta akan dibimbing secara menyeluruh melalui ekosistem yang merangkumi latihan, bimbingan perniagaan, sokongan pemasaran serta peluang membina rangkaian bersama pemain industri.

Usaha berkenaan dilihat selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan dan keusahawanan negara, selain memperluaskan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Melalui sasaran melahirkan 10,000 usahawan emas baharu, CA Academy optimis lebih ramai individu mampu menjadikan industri emas sebagai pilihan kerjaya dan sumber pendapatan yang mampan.
Inisiatif ini juga diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, berkemahiran serta bersedia menghadapi cabaran industri yang semakin berkembang.
