PUTRAJAYA – MILO Malaysia Breakfast Day (MBD) 2026 terus membuktikan peranannya sebagai platform yang menggalakkan gaya hidup sihat apabila ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur berhimpun di Dataran Putrajaya bagi menyertai siri kemuncak program tahunan itu.
Lebih daripada sekadar acara larian, program yang dianjurkan sejak 2013 itu menjadi medan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, memupuk semangat komuniti serta menggalakkan orang ramai menjadikan aktiviti fizikal dan sarapan berkhasiat sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Lebih 13,000 peserta memeriahkan siri terakhir MILO Malaysia Breakfast Day 2026 (MBD 2026) yang berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, berkata sambutan yang diterima menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia menyedari kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif sejak usia muda.
“Melihat penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa, kanak-kanak dan golongan belia, membuktikan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan semakin meningkat.
“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan kerana ia bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal, malah menyediakan ruang kepada masyarakat untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan melalui aktiviti yang sihat,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama antara kerajaan, sektor korporat dan masyarakat dapat diperkukuhkan bagi memperluaskan lagi penganjuran program berteraskan kesihatan pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols, berkata kehadiran keluarga yang meluangkan masa bersama sejak awal pagi menjadi antara pemandangan paling bermakna sepanjang penganjuran tahun ini.
Menurut beliau, membina tabiat hidup sihat perlu bermula dari rumah melalui amalan mudah seperti menikmati sarapan berkhasiat dan melibatkan diri dalam aktiviti fizikal bersama keluarga.
“Sebagai seorang bapa, saya memahami betapa pentingnya pemakanan yang baik dan aktiviti fizikal untuk kanak-kanak. Program seperti ini menggalakkan mereka keluar rumah, bermain, berlari dan menikmati masa berkualiti bersama keluarga, berbanding menghabiskan masa di hadapan skrin,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan jelajah MBD 2026 yang merangkumi enam lokasi di seluruh negara turut memberi keyakinan kepada penganjur untuk mula merancang penganjuran edisi 2027.

“Dengan penyertaan seramai 75,000 peserta di Sabah, Terengganu, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Putrajaya, MILO® Malaysia Breakfast Day 2026 menutup jelajah seluruh negaranya dengan penuh meriah menerusi acara Grand Finale di Putrajaya” tambahnya lagi.
Sepanjang penganjuran tahun ini, jelajah MBD telah singgah di Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Kuching, Kuantan, Kota Bharu sebelum melabuhkan tirainya di Putrajaya.
Program itu bukan sahaja berjaya menghimpunkan puluhan ribu peserta dari pelbagai latar belakang, malah memperkukuhkan komitmen MILO dalam mempromosikan pemakanan seimbang serta menekankan kepentingan sarapan sebagai asas kepada gaya hidup aktif dan sihat.
