Malaysia merancang untuk memulakan pengeluaran berskala kecil bagi bateri kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan pada bulan ini, lapor Nikkei Asia pada hari Isnin.
Bateri tersebut dibangunkan dengan kos sekitar RM20 juta dan akan dikeluarkan oleh Gigafactory Malaysia.
Gigafactory merupakan anak syarikat milik penuh NanoMalaysia Bhd, yang juga merupakan sebuah unit di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Kami kini berada di ambang untuk mengoperasikan kilang pengeluaran teknologi bateri tempatan yang pertama di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Rezal Khairi Ahmad, dalam satu temu bual bersama Nikkei Asia.
“Projek ini berkemungkinan besar adalah yang pertama seumpamanya di ASEAN.
“Tiada negara lain di rantau ini yang mengeluarkan teknologi bateri buatan tempatan”, kata beliau seperti yang dipetik daripada laporan itu.
Kos bateri sahaja biasanya merangkumi sehingga 40% daripada harga sesebuah kenderaan elektrik. Kebanyakan bateri kenderaan elektrik diperbuat daripada lithium-ion, dan China telah mengeluarkan lebih daripada 80% daripada keseluruhan bateri pada tahun 2025, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Bagaimanapun, bateri Gigafactory Malaysia adalah berasaskan kimia bateri nikel-mangan-kobalt (NMC), tetapi dipertingkatkan dengan graphene yang mampu menggandakan kapasiti storan sehingga tiga kali ganda, kata Rezal Khairi kepada Nikkei Asia.
Beliau turut menambah bahawa kapasiti megawatt-jam (MWh) dijangka bermula seawal September 2026.
