SHAH ALAM — Kehadiran kira-kira 60 penunggang Ducati Official Club Malaysia (DOCM) mencuri perhatian ketika menjayakan program promosi filem Tiket Sehala di Central i-City, Shah Alam, hari ini.
Program yang dianjurkan menerusi siri jelajah MADANI TRX (Madani Greatlink Sdn Bhd) itu turut menyaksikan perarakan kira-kira 40 motosikal berkuasa tinggi Ducati dari Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam.
Selain menghimpunkan komuniti peminat motosikal berkuasa tinggi, acara berkenaan turut memberi peluang kepada pengunjung untuk beramah mesra dengan barisan pelakon Tiket Sehala serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

Pengerusi Madani Greatlink, Hairi Jasadi berkata, kira-kira 80 tiket percuma turut diagihkan kepada pengunjung dan penyokong filem tempatan sebagai sebahagian daripada usaha memeriahkan kempen promosi karya berkenaan.
Menurutnya, program tersebut turut menampilkan ‘Gold Bar Challenge’, yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM51,000 kepada peserta yang berjaya dalam cabaran mengangkat jongkong emas.
“Program di Central i-City ini merupakan kesinambungan siri jelajah yang sebelum ini berlangsung di MADANI TRX, Jalan Imbi.
“Sambutan terhadap konvoi dan program ini amat menggalakkan, termasuk daripada peminat automotif serta pembikin filem tempatan,” katanya.
Hairi berkata, terdapat permintaan daripada ahli dan pengunjung supaya siri jelajah berkenaan diteruskan di lokasi lain, namun kekangan jadual menyebabkan program di Central i-City menjadi acara penutup bagi siri jelajah promosi tersebut.

Dalam pada itu, Tiket Sehala mengangkat kisah Alif, Putri dan Taqy yang menjadi mangsa sistem pemerdagangan manusia sebelum dipaksa bekerja di sebuah ladang bawang terpencil yang dikawal dua beradik tempatan, Park Jae Soo dan Park Ha Joon.
Filem berkenaan tampil dengan gabungan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Antara pelakon yang membintangi filem itu ialah Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ardell Aryana dan Saha Champ.
Turut terlibat ialah pelakon antarabangsa seperti Hyunjun Suk, Ha Ju Young, Ninja Aphisit Usadee dan Naufal Samudra.

Tiket Sehala mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 6 Ogos 2026, sekali gus membuka ruang kepada penonton tempatan untuk menyaksikan naskhah yang menggabungkan elemen aksi, drama dan isu pemerdagangan manusia.
Program promosi di Central i-City itu bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan filem berkenaan kepada khalayak, malah memperlihatkan kerjasama antara komuniti automotif dan industri perfileman tempatan dalam menyokong karya Malaysia.
