KUALA LUMPUR – Usaha memupuk kesedaran mengenai kelestarian dalam kalangan generasi muda kini diperluas daripada sekadar kempen alam sekitar kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung di sekolah.
Menerusi inisiatif Tenaga Kebaikan, MILO memperkukuh komitmennya untuk menjadikan amalan kelestarian sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian pelajar, termasuk melalui usaha menggalakkan komuniti sekolah mengamalkan pengurusan sisa secara lebih bertanggungjawab.

Menariknya, usaha itu turut diterjemahkan dalam bentuk sumbangan kepada sekolah apabila kira-kira 2,000 unit meja dan kerusi disediakan bagi membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa untuk pelajar.
Pendekatan berkenaan memperlihatkan bagaimana usaha mengurus dan mengitar semula bahan pembungkusan boleh dikembangkan menjadi satu kitaran manfaat yang bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah kembali kepada komuniti.
MILO melihat sekolah sebagai platform penting dalam membentuk tabiat positif sejak usia muda, khususnya dalam mendidik pelajar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan menggunakan sumber secara lebih bertanggungjawab.
Menerusi penglibatan pelajar, guru dan warga sekolah, inisiatif berkenaan diharap dapat mewujudkan budaya kelestarian yang lebih menyeluruh serta berterusan.

Pada masa sama, pendekatan itu menunjukkan bahawa amalan kecil seperti mengasingkan sisa dan mengitar semula pembungkusan boleh membawa impak yang lebih besar apabila dilakukan secara bersama.
Inisiatif Tenaga Kebaikan sekali gus mengetengahkan konsep bahawa kelestarian bukan sekadar mengenai mengurangkan sisa, sebaliknya bagaimana bahan yang dikumpulkan dapat diberi nilai baharu dan manfaatnya dikembalikan kepada masyarakat.
Dengan sekolah menjadi sebahagian daripada ekosistem berkenaan, MILO berharap lebih ramai generasi muda dapat memahami bahawa menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama yang boleh dimulakan menerusi tindakan mudah dalam kehidupan seharian.
