Kuala Lumpur – Ebright Public Speaking Academy (Ebright) menyasarkan untuk memperluaskan operasinya kepada 30 cawangan tahun ini, selepas berjaya mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan sejak ditubuhkan sedekad lalu.
Sasaran berkenaan dibuat bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan akademi pengucapan awam untuk kanak-kanak itu, yang diasaskan pada 2016.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ebright, Kevin Khoo, perkembangan akademi berkenaan didorong peningkatan permintaan ibu bapa terhadap penguasaan Bahasa Inggeris dan kemahiran komunikasi dalam kalangan anak-anak.
Katanya, setakat ini Ebright telah memperkasa lebih 30,000 pelajar menerusi pelbagai program yang memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi dan pembinaan keyakinan diri.
“Bagi saya, persekitaran berbilang bahasa di Malaysia merupakan satu kelebihan besar.
“Keupayaan kita berkomunikasi dalam pelbagai bahasa membolehkan rakyat Malaysia berhubung dengan individu daripada pelbagai budaya, pasaran dan latar belakang.
“Ini adalah kemahiran yang amat bernilai, terutama ketika dunia perniagaan semakin berkembang secara global,” katanya ketika berucap pada Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 Ebright di Tamarind Square, di sini.

Kemahiran insaniah semakin penting dalam era AI
Dalam perkembangan berkaitan, Kevin berpandangan kemajuan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan kemahiran insaniah seperti komunikasi, pengucapan awam dan kepimpinan pemikiran semakin penting.
Katanya, walaupun AI mampu mengubah cara manusia bekerja dan belajar, keupayaan untuk berkomunikasi secara berkesan serta menyampaikan idea dengan jelas masih menjadi kelebihan manusia.
“Walaupun AI terus berkembang, keupayaan untuk berkomunikasi secara autentik, menyampaikan idea dengan jelas dan menunjukkan kepimpinan pemikiran akan kekal sebagai keupayaan unik manusia.
“Ia juga mampu menjadi faktor yang membezakan generasi muda daripada rakan sebaya mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Ebright akan terus memperkukuh kurikulum dan program pendidikannya dengan menggabungkan elemen AI, inovasi serta teknologi dalam pembelajaran.
Langkah itu dilihat penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja mempunyai keyakinan untuk berkomunikasi, malah bersedia menghadapi perubahan dunia yang semakin dipengaruhi teknologi.

Sumbang RM10,000 kepada MAB
Sementara itu, sempena sambutan ulang tahun ke-10, Ebright turut menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Kevin berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk menyokong pelbagai program kerjasama bersama MAB, selain membantu mewujudkan peluang menjana pendapatan kepada golongan profesional daripada persatuan berkenaan.
“Sebahagian daripada sumbangan ini akan diperuntukkan bagi mewujudkan peluang menjana pendapatan dengan melibatkan golongan profesional daripada MAB dalam program-program kami.
“Langkah ini diharap dapat menyokong kehidupan mereka secara bermaruah, selain menghargai kemahiran dan kepakaran yang dimiliki,” katanya.
Kerjasama antara Ebright dan MAB telah bermula sejak 2023 apabila akademi berkenaan menyediakan platform kepada pelajar MAB untuk mengembangkan kemahiran pengucapan awam dan meningkatkan keyakinan diri.
Sejak itu, sesi pengucapan awam secara bulanan terus dianjurkan dengan sokongan kurikulum serta program pengajaran yang disesuaikan bagi memberi ruang kepada mereka untuk bersuara, berkongsi pengalaman dan berinteraksi dengan masyarakat.
“Kami percaya setiap suara berhak untuk didengari.
“Akademi kami sentiasa berusaha menyediakan latihan pengucapan awam secara profesional kepada semua individu supaya mereka dapat meningkatkan keyakinan diri, berkongsi kisah secara terbuka dan membantu merapatkan jurang antara mereka dengan masyarakat,” katanya.
Dengan pengalaman 10 tahun serta lebih 30,000 pelajar yang telah dibimbing, Ebright kini memasuki fasa baharu dengan sasaran memperluaskan rangkaiannya kepada 30 cawangan.
Usaha itu turut mencerminkan komitmen akademi berkenaan untuk terus melahirkan generasi muda yang yakin, petah berkomunikasi dan mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia masa depan.
