KUALA LUMPUR – Berjaya Hills Resort Berhad (BHRB) menyifatkan tindakan penguatkuasaan yang diambil pihak berkuasa Negeri Pahang terhadap hartanah syarikat di Berjaya Hills pada 28 September lalu sebagai tidak wajar dan tidak boleh diterima.
Menurut BHRB, tindakan berkenaan melibatkan beberapa kawasan penting di premis Berjaya Hills termasuk kuarters kakitangan, dobi pusat dan kemudahan lain yang menyokong operasi syarikat.
BHRB dalam satu kenyataan berkata, isu berkenaan berpunca daripada kenaikan mendadak kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap hartanahnya di Berjaya Hills pada 2020, ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
Syarikat mendakwa bil cukai tanah tahunannya meningkat daripada kira-kira RM2.4 juta pada 2019 kepada RM33.7 juta pada 2020, iaitu peningkatan kira-kira 13 kali ganda atau 1,304 peratus.
BHRB menyifatkan peningkatan tersebut sebagai luar biasa dan berkata ia tidak pernah berlaku sebelum ini dalam mana-mana pemilikan atau percukaian tanah yang setanding di Malaysia.
Antara April 2020 hingga Disember 2022, BHRB berkata pihaknya telah mengemukakan 11 rayuan kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi mendapatkan semakan semula kadar cukai tanah serta pengurangan yang sewajarnya.
Susulan rayuan tersebut, kadar cukai tanah tahunan kemudiannya dikurangkan daripada RM33.7 juta kepada RM25.75 juta.
Bagaimanapun, BHRB berkata jumlah itu masih mewakili peningkatan kira-kira 9.7 kali ganda atau 973 peratus berbanding kadar asal RM2.4 juta pada 2019.
Menurut syarikat, antara 2020 hingga 2026, pihaknya membuat bayaran cukai tanah secara bantahan berjumlah kira-kira RM42.65 juta termasuk penalti.
BHRB berkata pihaknya terus mengadakan rundingan dan mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk mendapatkan semakan lanjut terhadap kadar cukai tanah berkenaan.
Bawa isu ke Mahkamah
Selepas rayuan tidak berjaya dan mendakwa tidak menerima jawapan atau maklum balas daripada Menteri Besar Pahang, BHRB memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Kerajaan Negeri Pahang di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 11 April 2023.
Prosiding itu bertujuan mencabar keputusan Kerajaan Negeri berhubung semakan kadar cukai tanah.
Pada 29 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan BHRB dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan dalam keputusan dasar Kerajaan Negeri berkaitan semakan kadar cukai tanah.
BHRB kemudiannya membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan.
Pada 16 Julai 2026, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, BHRB seterusnya memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan pada 14 Ogos 2026.
Permohonan itu dijadualkan untuk didengar pada 8 Disember 2026.
Pertikai masa tindakan penguatkuasaan
Dalam pada itu, BHRB mempersoalkan tindakan penguatkuasaan yang dimulakan pihak berkuasa Negeri Pahang pada 28 September 2026, khususnya kerana permohonan syarikat untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan masih belum diputuskan.
BHRB berkata pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun menyifatkan cara tindakan penguatkuasaan dilaksanakan sebagai tidak munasabah dan keterlaluan.
Syarikat turut mendakwa tindakan berkenaan menjejaskan jangkaan sahnya untuk meneruskan operasi perniagaan secara aman.
BHRB dalam kenyataan sama turut menyatakan kebimbangan bahawa peningkatan kadar cukai tanah dan tindakan penguatkuasaan tersebut boleh memberi kesan terhadap keyakinan pelabur tempatan serta asing untuk membuat pelaburan pada masa hadapan di Pahang.
Menurut BHRB, syarikat bersama syarikat berkaitannya merupakan antara pelabur terawal dan terbesar di negeri itu, termasuk dalam sektor hotel dan pusat peranginan di Berjaya Hills serta Pulau Tioman.
Harap penyelesaian secara baik
Biarpun masih meneruskan tindakan undang-undang, BHRB berkata pihaknya berharap Kerajaan Negeri Pahang akan terus mengadakan rundingan secara konstruktif bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama.
Syarikat turut menegaskan komitmennya untuk melindungi operasi perniagaan, pekerja dan keluarga mereka sepanjang proses berkenaan.
BHRB berkata pihaknya akan menggunakan semua saluran yang tersedia bagi mencari penyelesaian terhadap pertikaian berkaitan kadar cukai tanah dan tindakan penguatkuasaan tersebut.
