KUALA LUMPUR – Kemajuan teknologi robotik dan automasi kini semakin mendapat tempat dalam industri makanan dan minuman (F&B), termasuk menerusi penggunaan sistem robot memasak yang bakal menjadi antara tarikan utama Taste & Trade 360 (TT360) 2026.
Edisi ketiga acara berkenaan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 5 hingga 7 November ini, dengan menghimpunkan pemain industri serta pelbagai inovasi berkaitan sektor kulinari.
Penganjuran TT360 2026 oleh Brilliant Exhibitions Sdn. Bhd. dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi baharu yang boleh menyokong operasi dapur serta perniagaan F&B.
Ketua Pegawai Eksekutif Ping Edge Technology Berhad, Ethan Choong berkata, penggunaan teknologi robotik dan automasi berpotensi membantu industri menangani cabaran kekurangan tenaga kerja selain meningkatkan produktiviti.

Menurut beliau, tugas-tugas yang berulang dan mengambil masa boleh dilaksanakan menerusi automasi, sekali gus membolehkan tenaga kerja manusia memberi lebih tumpuan kepada tugasan yang memerlukan kreativiti, pertimbangan serta perkhidmatan bernilai tinggi.
Antara acara yang bakal mencuri perhatian ialah pertandingan Battle of the Bots: Culinary Edition 2026 pada 6 November, yang menampilkan sistem robot memasak X-Bot hasil pembangunan Gene Tech Sdn. Bhd.
Pertandingan itu merupakan hasil kerjasama antara Gene Tech, Ping Edge dan UOW Malaysia bagi menguji keupayaan teknologi robot memasak dalam menghasilkan hidangan yang disesuaikan dengan cita rasa serta konteks budaya tempatan.
Hidangan yang dihasilkan akan dinilai oleh barisan pakar kulinari tempatan yang mempunyai pengalaman antarabangsa berdasarkan beberapa aspek, termasuk rasa, kreativiti, tahap kerumitan dan persembahan.

Selain robotik, TT360 2026 turut mengetengahkan inovasi Trak Makanan Kenderaan Elektrik (EV), yang memperlihatkan potensi penggunaan kenderaan berkuasa bateri dalam menyokong operasi perniagaan F&B bergerak secara lebih lestari.
Perkembangan tersebut mencerminkan bagaimana teknologi dan inovasi semakin menjadi sebahagian daripada landskap industri kulinari, bukan sahaja dari aspek penyediaan makanan tetapi turut melibatkan operasi perniagaan serta kelestarian.
