Mr Isao Kano & Grand Prize Winner

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 organisasi dari tujuh negara dan wilayah Asia menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Healthy Aging Prize for Asian Innovation (HAPI) edisi kelima atas sumbangan mereka dalam menghasilkan inovasi bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat menua.

Penganjuran oleh Japan Center for International Exchange (JCIE) dengan kerjasama Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) itu berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 10 November 2026, sekali gus mengetengahkan kepentingan inovasi dalam menghadapi perubahan demografi di rantau ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCIE, Isao Kano berkata, Malaysia dijangka menjadi negara menua dalam tempoh kira-kira 20 tahun lagi, dengan penduduk berusia 65 tahun ke atas diunjurkan melebihi 14 peratus daripada keseluruhan populasi.

Justeru, katanya, usaha memperkukuh ekosistem penuaan sihat perlu diberi perhatian, merangkumi aspek penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan sokongan sosial bagi memastikan golongan warga emas dapat menikmati kehidupan berkualiti.

HAPI yang memasuki edisi kelima tahun ini memperkenalkan tiga kategori baharu iaitu Penjagaan dan Kesejahteraan (Care & Wellbeing), Penglibatan Sosial (Social Engagement) serta Persekitaran Sokongan (Supportive Environments) bagi mengiktiraf kepelbagaian pendekatan dalam menyokong warga emas.

Bagi kategori Hadiah Utama, Frailty Prevention Team dari The University of Tokyo, Jepun memenangi kategori Penjagaan dan Kesejahteraan menerusi inisiatif memperkasa warga emas sebagai penyokong pencegahan kelemahan fizikal dalam komuniti.

NOLLUWA dari Korea Selatan pula memenangi kategori Penglibatan Sosial menerusi projek pembangunan wilayah dan kelestarian komuniti, manakala Fukuoka City, Jepun menerima pengiktirafan bagi kategori Persekitaran Sokongan menerusi reka bentuk persekitaran mesra demensia.

Sementara itu, penerima Hadiah Kedua ialah DoctorTool dari Indonesia, Ginger Innovation dari Hong Kong dan Universal Design Center dari Thailand menerusi inovasi pendigitalan penjagaan kesihatan berasaskan kecerdasan buatan (AI), penglibatan sosial serta reka bentuk sejagat untuk warga emas.

Turut menerima pengiktirafan sebagai finalis ialah Hirosaki University dari Jepun, Yasuragi Social Welfare Corporation dari Vietnam dan Jepun, Busan Metropolitan City dari Korea Selatan, The Social Farming Academic Society of Japan serta Alternative Indigenous Development Foundation, Inc. (AIDFI) dari Filipina.

Tiga organisasi Jepun turut menerima Penghargaan Khas atas usaha menyokong kesejahteraan penjaga, melahirkan kepimpinan generasi baharu dalam sektor penjagaan serta membina daya tahan komuniti yang terjejas akibat bencana.

Menurut penganjur, edisi kali ini mencatat persaingan paling sengit setakat ini dengan penyertaan pelbagai organisasi yang mengetengahkan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran masyarakat menua.

Antara tren yang dikenal pasti ialah peningkatan penggunaan teknologi AI dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan, selain usaha memperkasa warga emas supaya terus menyumbang kepada komuniti berdasarkan pengalaman dan kemahiran mereka.

Inisiatif membangunkan persekitaran inklusif melalui reka bentuk sejagat dan mesra demensia turut menjadi antara pendekatan penting yang diketengahkan.

Majlis penyampaian anugerah kepada pemenang Hadiah Utama berlangsung di Kuala Lumpur pada 10 November, bersempena Silver Economy Forum yang dijadualkan pada 11 dan 12 November 2026.

Persidangan antarabangsa anjuran Global Coalition on Aging (GCOA) itu memberi tumpuan kepada penuaan sihat dan umur panjang, sekali gus membuka ruang perkongsian pengalaman serta amalan terbaik dalam membangunkan masyarakat yang lebih bersedia menghadapi peningkatan populasi warga emas.

Leave a Reply