2311-MYSIREN-FAHMI

Kuala Lumpur –  Sistem Amaran Awal (EWS) baharu Malaysia yang dikenali secara rasmi sebagai MySiren akan menjalani ujian rintis di seluruh negara pada 29 November 2026, bermula tepat jam 10.10 pagi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengesahkan menerusi latihan tersebut, semua telefon pintar yang serasi di seluruh negara akan menerima notifikasi ujian secara serentak. Ia bagi membolehkan orang ramai membiasakan diri dengan mekanisme
sistem amaran bencana berkenaan.

Pelaksanaan ujian tersebut akan diselaraskan secara berpusat dari Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang bertempat di ibu pejabat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sistem MySiren telah mula beroperasi sejak 19 November lalu, di mana sesi demonstrasi awal turut diadakan di bangunan Parlimen melibatkan ahli-ahli parlimen.

Cara Operasi dan Jaminan Privasi Pengguna

Berbeza dengan pemberitahuan khidmat pesanan ringkas (SMS) konvensional, MySiren tidak memerlukan sebarang proses pendaftaran, muat turun aplikasi khas, mahupun sambungan data mudah alih yang aktif untuk berfungsi.

Amaran akan dihantar terus ke peranti yang serasi dan diiringi dengan bunyi amaran serta getaran khusus bagi menarik perhatian segera penerima.

Sistem yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM200 juta ini menggunakan teknologi Sistem Penyiaran Selular (Cell Broadcast System, CBS). Teknologi tersebut digunakan untuk penghantaran mesej secara serentak kepada semua peranti dalam zon geografi tertentu. Ia menggunakan menara telekomunikasi berdekatan, tanpa bergantung kepada rangkaian trafik data biasa.

MySiren dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan turut diberikan akses operasi kepada beberapa agensi keselamatan serta penguatkuasaan utama, iaitu:

  • Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM)
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
  • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Dalam pada itu, Fahmi turut memberi jaminan kepada orang ramai MySiren tidak mengumpul atau mengakses sebarang maklumat peribadi daripada peranti pengguna.

Memandangkan teknologi penyiaran selular menyiarkan amaran secara terus ke kawasan liputan yang ditetapkan tanpa perlu mengenal pasti nombor telefon atau identiti pemilik peranti, pengguna tidak perlu mendaftar, tidak perlu memberikan maklumat peribadi, dan tidak akan dikenakan sebarang caj bagi setiap amaran yang diterima.

Lapan Kategori Amaran yang Disokong

MySiren menyokong lapan kategori amaran berbeza yang merangkumi National Alert, Extreme Alert, Severe Alert, Active Shooter Alert,  Missing Person Alert, Test Alert, Exercise Alert dan All Clear Alert.

Daripada kesemua amaran tersebut, hanya National Alert dan Extreme Alert sahaja yang tidak boleh dimatikan dengan selebihnya pengguna boleh memilih untuk menerima atau tidak amaran tersebut. Untuk Active Shooter Alerts, ia dihantar tanpa sebarang bunyi nada atau getaran bagi menyembunyikan lokasi mangsa yang sedang berlindung dari penembak tersebut.

Keperluan Kemas Kini Peranti Pintar

MCMC sebelum ini menggesa pengguna telefon pintar supaya mengemas kini perisian peranti masing-masing bagi memastikan keserasian dengan sistem baharu ini. Spesifikasi minimum sistem operasi yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Apple: Model iPhone 11 atau lebih baharu yang menjalankan sistem operasi iOS 27.2 atau versi terkini.
  • Android: Peranti yang menjalankan sistem operasi Android 12 atau versi terkini.
  • Huawei: Peranti yang menjalankan sistem operasi EMUI 16 atau versi terkini.

Pengguna dinasihatkan untuk memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula peranti selepas kemas kini selesai. Tetapan amaran kecemasan pada peranti juga perlu dipastikan aktif.

Bagi pengguna telefon pintar model lama atau peranti yang tidak serasi, golongan ini tidak akan ketinggalan kerana sistem pemberitahuan bencana berasaskan SMS sedia ada akan terus beroperasi seiring dengan pelaksanaan MySiren.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai spesifikasi dan panduan penggunaan sistem ini boleh merujuk bahagian rasmi MySiren di laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Leave a Reply