Kuala Lumpur – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) ditubuhkan pada 14 Feb 2012 dengan matlamat untuk mengukuh keupayaan bakat Bumiputera menerusi program pensijilan akademik, vokasional dan profesional.

Hari ini, Yayasan Peneraju meraikan ulang tahun yang ke-lapan. Dalam jangka masa yang singkat ini, Yayasan Peneraju telah merealisasi seramai lebih 29,900 aspirasi penerima faedah melalui 264 program pembiayaannya dengan peruntukan sebanyak RM679.8 juta yang diterima dan disumbang sepanjang tempoh lapan tahun.

Bersempena sambutan ulang tahun ini, Yayasan Peneraju menyatakan komitmen untuk terus melahirkan bakat Bumiputera yang kompetitif dan bertaraf dunia khususnya bagi memenuhi keperluan Bidang Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA).

Sepanjang tempoh itu juga pelbagai pencapaian telah diraih oleh Yayasan Peneraju.

Antaranya:
1. Melaksanakan 264 jenis program pembiayaan akademik, vokasional dan pensijilan profesional dengan kerjasama penyedia latihan/rakan program seluruh Malaysia.
2. Membangunkan seramai lebih 29,900 penerima faedah yang telah tamat dan masih berada di dalam program seperti berikut:- Peneraju Tunas (Akademik): Seramai 2,840 penerima faedah daripada 8,965 telah tamat program.
– Peneraju Skil: Seramai 10,740 penerima faedah daripada 15,761 telah tamat
program dan berjaya mendapat pekerjaan.
– PENERAJU PROFESIONAL: Seramai 1,200 penerima faedah daripada 5,234 berjaya memperoleh pensijilan profesional.

Di bawah program Peneraju Tunas (Tunas Potensi), 87% daripada lebih 1,600 penerima faedah golongan B40 yang melanjutkan pelajaran ke universiti merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.00 sejak tahun 2012. Penerima faedah program Peneraju Tunas Geliga (lepasan sekolah rendah) memperoleh keputusan 5A ke atas bagi
peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah masing-masing seramai 625 dan 192.

Di samping itu, kedua-dua program Peneraju Skil Iltizam (program Zero to Hero) dan Peneraju Skil (Mahir) mencatatkan statistik membanggakan dengan melahirkan belia di bawah umur 20 tahun dan 30 tahun yang memperoleh pendapatan tertinggi mencecah RM9,000 dan RM20,000 sebulan. Daripada jumlah 15,761, 86.2% daripada penerima faedah program Peneraju Skil bekerja di dalam industri berkemahiran dan berpendapatan
tinggi seperti Minyak & Gas, Aeroangkasa, Pembuatan, Pelancongan, Elektrikal & Elektronik dan Teknologi, Informasi & Komunikasi (ICT).

Bagi program Peneraju Profesional, khususnya bidang Perakaunan, pencapaian paling membanggakan adalah apabila Yayasan Peneraju berjaya melahirkan seramai 85 pemenang bertaraf dunia. Kesemua pelajar tersebut yang menerima pembiayaan Yayasan Peneraju berjaya memperoleh kedudukan antara teratas dunia dalam bidang pensijilan perakaunan merangkumi ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA. Daripada jumlah tersebut, seramai 29 pelajar telah berjaya memperoleh kedudukan pertama dunia menerusi anugerah Certified Accounting Technician (CAT)/Association of Chartered Certified Accountant (ACCA) World Prize Winner.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh penerima faedah Yayasan Peneraju menjadi testimoni kepada prestasi cemerlang Yayasan Peneraju sepanjang tempoh lapan tahun terutamanya dalam membangunkan bakat Bumiputera yang berkualiti dan mempunyai jati diri yang kukuh dan tidak mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan oleh Yayasan Peneraju.

Pencapaian membanggakan ini adalah hasil sokongan dan kerjasama semua pihak terlibat yang telah membawa Yayasan Peneraju sehingga ke tahap ini. Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada lembaga pemegang amanah, penyumbang- penyumbang dana, penasihat-penasihat industri, rakan-rakan program, warga kerja seterusnya penerima faedah Yayasan Peneraju.

Melangkah ke hadapan, untuk tahun 2020, Yayasan Peneraju akan memberi peluang kepada lebih 7,000 penerima faedah dan tumpuan akan diberikan kepada bidang ekonomi digital, kewangan Islam dan teknologi IR4.0 bagi menyokong keperluan negara untuk merealisasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV2030).

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading