PETALING JAYA – Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, pengendali tempatan McDonald’s Malaysia menjadi syarikat pembayar zakat korporat pertama yang menerima sijil pengiktirafan pengeluar zakat di Selangor.

Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi, berkata pihaknya berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Pembayaran zakat korporat adalah komitmen berterusan kami sejak diambil alih oleh Reza Group pada 1 Disember 2016, malah dimiliki oleh pemegang saham atau pelabur yang majoritinya umat Islam.

“Tahun lalu, McDonald’s Malaysia membayar zakat korporat sebanyak RM1.4 juta untuk negeri-negeri di seluruh negara, manakala bagi negeri Selangor, sebanyak RM101,000 zakat korporat dibayar.

“Semoga zakat yang ditunaikan ini dapat terus membantu golongan yang memerlukan di Malaysia, di samping memenuhi kewajipan kami sebagai umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Pembayar Zakat Korporat di McDonald’s Pandu-Lalu Mutiara Damansara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.

Azhar berkata, selain berzakat, kini McDonald’s Malaysia membiayai seramai 62 anak asnaf di seluruh negara sebagai perantis dalam menjalani Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia.

“Sebaik tamat latihan, mereka akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia seterusnya layak mengembangkan lagi kerjaya mereka di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di Malaysia.

“Sejak program ini diperkenalkan pada 2018, kira-kira 1,200 belia sudah dan sedang mengikuti Program Perantis Vokasional McDonald’s.

“Kos setiap perantis ditanggung sepenuhnya, sekitar RM30,000, merangkumi elaun sara diri RM1,200 sebulan, tempat tinggal dan makan minum pada setiap hari latihan.

Sementara itu, Saipolyazan berkata, Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat itu adalah inisiatif penghargaan LZS kepada syarikat yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor.

“Ini sebagai pendorong kepada syarikat lain untuk tampil menunaikan kewajipan berzakat agar sama-sama dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam krisis COVID-19 yang berlaku.

“Pemberian Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat ini memberi nilai tambah kepada sijil Halal sedia ada yang dimiliki oleh sesebuah syarikat.

“Semoga sijil yang diberikan kepada McDonald’s Malaysia hari ini mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat Malaysia terhadap jenama McDonald’s di negara ini,” katanya.

Leave a Reply