Terkini

Usaha KKM hapus stigma pesakit COVID-19 tumpuan Dewan Rakyat hari Khamis

KUALA LUMPUR – Usaha yang telah dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menghapuskan stigma terhadap bekas pesakit COVID-19 serta impak jangka panjang stigma itu pada emosi individu terbabit, bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dipaparkan dalam laman rasmi Parlimen, perkara berkenaan terkandung dalam soalan pertama Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) yang bermula pada 10 pagi ini.

Sesi MQT kemudiannya disusuli pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan mengenai punca banjir kilat yang melanda Seremban pada awal pagi 4 Nov lepas sehingga menyebabkan lebih 1,000 rumah ditenggelami air selain pencerahan mengenai rancangan dan tindakan yang bakal dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran, agar musibah ini tidak berulang.           

Sementara itu, Ahmad Hassan (Warisan-Papar) pula meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan jumlah dan nilai bagi projek bekalan air luar bandar (BALB), projek bekalan elektrik Luar bandar (BELB) dan projek jalan luar bandar dan perhubungan desa di Sabah bagi tahun 2020, status projek dan peratusan peruntukan yang telah digunakan setakat ini.

 Bagaimanapun, seperti ditetapkan sebelum ini, sesi  MQT kali ini hanya memerlukan Ahli-ahli Parlimen membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama dengan soalan dan jawapan itu akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin.

Selepas sesi MQT, tumpuan akan beralih kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang antara lain soalan daripada Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) meminta Menteri Luar Negeri  menyatakan mengenai status kedudukan Sabah berkaitan isu tuntutan negara Filipina terhadap Sabah.            

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudiannya akan mengambil tempat untuk hari keempat.

Sidang dewan bermula minggu ini berlangsung hanya empat jam iaitu pada10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas – dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa. 

Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19. 

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: