Terkini

Bantuan khas RM1,000 kepada 213 penumpang LRT

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyediakan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada 213 mangsa terbabit dalam insiden pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi.

Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata pihaknya juga menanggung kos perubatan mangsa yang menerima rawatan di hospital.

Katanya, mangsa yang kehilangan kerja akibat insiden itu turut akan diberi bantuan kewangan sewajarnya.

“Prasarana dukacita dengan kejadian ini dan mengambil tanggungjawab penuh untuk membantu mangsa terbabit. Bantuan khas, kos rawatan dan pembayaran pampasan akan diberikan dalam masa terdekat kepada mangsa,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah, ketika dihubungi hari ini memaklumkan seramai 65 mangsa nahas berkenaan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mereka terdiri daripada 29 lelaki dan 36 wanita. Enam daripada yang menerima rawatan adalah warga asing, bakinya warga tempatan.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata mengikut maklumat terkini, enam penumpang kritikal dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan di HKL.

“Seramai 15 lagi penumpang masih dirawat di HKL namun dilaporkan stabil. Dalam kejadian semalam, seramai 64 penumpang cedera dikejarkan ke HKL dan ada antara mereka sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Prasarana akan mengambil masa tiga hari untuk mengalihkan tren terbabit dalam kemalangan semalam. Pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan sedang giat menjalankan siasatan dan ia dijangka lengkap dalam tempoh dua minggu.

“Setakat ini perkhidmatan LRT berjalan seperti biasa, namun Prasarana menyediakan bas pengantara pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan di stesen berdekatan.

“Prasarana memberi jaminan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang dan sentiasa meningkatkan perkhidmatan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: