GAZA – Kumpulan pejuang Islam Palestin melancarkan belon api dari sini, tindak balas beberapa jam selepas serangan udara Israel, sekali gus mengakibatkan serangan rentas sempadan pertama selepas konflik berdarah bulan lalu.
Serangan udara di wilayah Palestin di Gaza adalah yang pertama di bawah pemerintahan baharu Israel diketuai oleh Naftali Bennett, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.
Jurucakap jabatan bomba mendakwa, pihaknya memadamkan empat kebakaran dikatakan berpunca daripada belon api yang dilancarkan dari Gaza semalam.
Tentera Israel berkata, jet pejuangnya menyerang kawasan tentera milik kumpulan Hamas semalam, sebagai tindak balas terhadap belon api dan mendakwa tiada sebarang kematian dilaporkan.
Tentera Israel berkata, mereka bersiap sedia untuk sebarang situasi termasuk pertempuran semula sekiranya berlaku serangan dari Gaza.
Ketegangan meningkat semula Tebing Barat di mana tentera Israel menembak seorang wanita Palestin selepas mendakwa mangsa cuba melanggar anggota keselamatan dengan sebuah kereta dan kemudian mahu menikam mereka.
Keganasan terbaru itu selepas bantahan perarakan ‘March Flags’ oleh penduduk Yahudi di sekitar bandar lama di Baitulmaqdis, di mana sejumlah polis bertembung dengan penduduk Palestin yang diarah mengosongkan jalan untuk perarakan berkenaan.
Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri semalam, Bennet bertemu dengan Ketua Tentera, Aviv Kochavi dan dua lagi pemimpin bagi membincangkan mengenai kesan daripada konflik di Semenanjung Gaza bulan lalu, yang mengakibatkan ratusan terbunuh. – AFP.